Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, arahan pertukaran bagi kesemua mereka akan dikeluarkan selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu ini.

Beliau berkata, pihaknya ketika ini sedang dalam proses perundingan agar pegawai-pegawai tersebut diletakkan di tempat yang sesuai.

“Pertukaran ini melibatkan pelbagai gred. Insya-Allah, dalam tempoh seminggu ini kita mengeluarkan arahan pertukaran. Semua 50 pegawai yang akan ditukarkan itu walau bagaimanapun tidak boleh lagi merayu.

“Bilangan 50 orang itu adalah permulaan. Kita tidak boleh buat semua sekali, jadi 50 pegawai dahulu dan selepas ini kita akan teruskan lagi pertukaran kerana ini proses yang berterusan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 1Serve Transit Lounge @JPA4U di Kompleks C di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohamed Mantek dan Presiden Persatuan Pesara Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawanteh.

Isnin lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa memberitahu, 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan secara dalaman di agensi masing-masing atau ke kementerian lain mulai bulan ini.

Beliau berkata, pegawai-pegawai yang dikenal pasti itu telah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di beberapa bahagian kementerian khususnya kewangan, perolehan dan kontrak.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi ketika berucap berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan terus berusaha dalam memastikan keselesaan kepada pesara-pesara kerajaan yang ingin berurusan di Kaunter 1Serve JPA4U.

Atas keprihatinan tersebut, jelasnya, JPA menawarkan perkhidmatan ‘transit lounge’ dan ‘shuttle buggy’ selain enam ruang tempat letak kenderaan di Kompleks C di sini sebagai salah satu kemudahan kepada pelanggannya.

“Kita hendak jadikan kaunter 1Serve ini mempunyai standard tersendiri dengan lapan ciri ter­tentu termasuk senyum, mendengar dan menunjukkan empati. Mana-mana kaunter 1Serve perlu ada ciri tersebut. Kita juga bercadang untuk memperluaskan kaunter seumpama ini ke seluruh negara.

“Sejak dilaksanakan bermula 2 November tahun lalu, sebanyak 17,036 transaksi perkhidmatan telah dilaksanakan di kaunter 1Serve dengan purata 170 pelanggan sehari,” katanya.

Utusan Malaysia Online