Penjawat awam yang dikenal pasti untuk ditukarkan sudah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di beberapa bahagian dalam kementerian seperti kewangan, kontrak dan perolehan. Mereka ini mungkin telah mengenali rapat orang yang ber­urusan dengan jabatan dan bahagian masing-masing. Oleh itu, mereka tidak seharusnya berada di bahagian atau kementerian yang sama dalam jangka masa lama kerana mungkin ada godaan untuk terlibat dalam amalan penipuan atau rasuah.

Pekeliling Perkhidmatan Awam mempunyai peruntukan mengenai pertukaran kakitangan awam yang memegang jawatan sensitif yang sudah berkhidmat tiga hingga lima tahun ke bahagian lain di dalam kementerian atau ke kementerian lain. Apa yang perlu adalah pelaksanaan sepenuhnya Pekeliling tersebut.

Pada masa sama, prosedur operasi standard (SOP) yang tidak mudah tiris dalam sistem perolehan kerajaan mesti dilaksanakan berserta dengan kawalan dan pemantauan sistem dalaman yang ketat supaya tidak ada kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh kakitangan yang tidak jujur.

Walaupun langkah untuk menukarkan pegawai kerajaan adalah dialu-alukan, tetapi ini bukan satu-satunya jalan penyelesaian yang terbaik. Dalam analisis terakhir, apa yang paling penting adalah membangunkan budaya integriti dalam perkhidmatan awam. Adalah perlu untuk mewujudkan satu budaya kerja yang menggabungkan disiplin, tanggungjawab, integriti dan kebertanggungjawapan dalam perkhidmatan awam supaya penjawat awam menjalankan tugas dengan jujur dan telus.

Etika dan nilai-nilai moral yang baik adalah penting jika negara ini mahu mempunyai pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah. Sebenarnya, penerapan nilai-nilai murni dan etika, disertai dengan kepatuhan kepada sumpah tadbir urus yang baik adalah cara yang paling berkesan untuk memerangi rasuah dalam perkhidmatan awam. Orang yang jujur dan mempunyai integriti yang tinggi tidak mungkin akan melakukan amalan rasuah dalam apa jua keadaan.

Rasuah berlaku apabila orang yang tiada hati nurani menyalahgunakan kedudukan atau kuasa untuk mengeksploitasi kelemahan yang terdapat dalam prosedur untuk keuntungan peribadi yang tidak wajar. Itu sebabnya adalah penting bagi Malaysia untuk mempunyai penjawat awam yang menjalani kehidupan jujur, tidak tunduk kepada rasa tamak dan mementingkan integriti berbanding wang.

Rasuah didorong oleh rasa ­tamak, yang menjadi punca segala kejahatan. Semua orang harus sedar bahawa tidak berbaloi untuk tunduk kepada godaan untuk menipu atau rasuah kerana mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Selain memupuk integriti dan nilai-nilai moral yang baik dalam kalangan penjawat awam melalui latihan dan kursus yang berterusan, mereka juga perlu digalakkan untuk membuat laporan jika mengesyaki sebarang amalan rasuah. Mereka perlu tahu bahawa mendedahkan penipuan atau rasuah adalah salah satu cara utama untuk membasmi rasuah. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyediakan perlindungan kepada pemberi maklumat yang secara sukarela tampil untuk membuat laporan atau mendedahkan sebarang maklumat mengenai kegiatan rasuah.

Kes rasuah terkini yang melibatkan penyelewengan RM107 juta di Kementerian Belia dan Sukan dan agensinya mencerminkan kelemahan dalam sistem perolehan kerajaan. Walaupun tindakan pantas SPRM mendedahkan sindiket rasuah tersebut dan mengenal pasti mereka yang terlibat harus dipuji, penyelewengan telah pun berlaku selama lima tahun dan lebih RM100 juta telah hilang daripada dana kerajaan.

Penipuan dilakukan oleh penjawat awam, iaitu mereka yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk mengurus sumber negara. Beberapa kakitangan ke­rajaan termasuk pegawai-pegawai kanan yang terbabit dengan skandal rasuah tersebut menjalani hidup mewah dari sumber wang yang ‘disonglap’ daripada dana kerajaan, yang sebahagiannya disumbang oleh cukai yang dibayar oleh rakyat dan syarikat perniagaan. Sepatutnya, wang berjuta ringgit itu boleh di­salurkan kepada program pemba­ngunan sukan untuk belia dan juga untuk rakyat mengambil bahagian dalam aktiviti cergas dan sihat.

Biarlah ini menjadi pengajaran kepada semua orang di sektor awam dan juga sebagai peringatan bahawa tiada siapa pun dapat melepaskan diri daripada melakukan penipuan dan penyelewengan.

Insiden ini jelas menunjukkan SOP sedia ada dalam sistem perolehan kerajaan perlu dikaji semula dan diperketatkan, kelemahan perlu diperbaiki dan kekurangan perlu diatasi untuk mengelak berulangnya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Mekanisme semak dan imbang mesti dibina dalam proses kelulusan dan perolehan supaya tidak ada ruang untuk peni­puan dan penyelewengan.

Sistem audit dalaman di kementerian dan jabatan kerajaan juga perlu diperkukuhkan supaya ada kawalan yang lebih baik dalam pengurusan dana awam. Sistem audit dalaman mestilah cekap dan berkesan supaya dapat mengesan penyelewengan.

Sistem pemantauan juga ­penting, di mana proses transaksi dan kawalan dalaman sentiasa dinilai. Sistem pemantauan perlu diperkukuhkan supaya keberkesa­nan kawalan dan integriti transaksi boleh dinilai dengan berkesan.

Pengawasan yang lebih teliti oleh Ketua Setiausaha di semua kementerian amat diperlukan ke atas semua perbelanjaan dan perolehan. Pada masa ini, peruntukan atau perbelanjaan kecil tidak memerlukan kelulusan daripada Ketua Setiausaha dan ini memberi ruang untuk berlakunya penyelewe­ngan. Satu mekanisme diperlukan untuk memantau mereka yang di­amanahkan memberi kelulusan dalam proses perolehan supaya prosedur menjadi telus.

Saya menyokong pertukaran pegawai-pegawai kerajaan yang memegang jawatan sensitif dalam perkhidmatan awam setiap tiga hingga lima tahun untuk mengelakkan amalan rasuah. Malah, semua jabatan dan kementerian perlu diwajibkan untuk patuh kepada garis panduan penempatan dan pertukaran.

Kes ini juga menyentuh mengenai isu integriti dalam perkhidmatan awam. Pentadbir awam serta kakitangan kerajaan perlu melaksanakan tugas mereka dengan penuh integriti dan jujur selain beretika dan telus. Saya percaya bahawa penerapan nilai-nilai murni dan etika, disertai dengan kepatuhan kepada sumpah tadbir urus, adalah cara yang paling berkesan untuk memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Utusan Malaysia Online