Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, semua pegawai tersebut telah dikenal pasti dan melibatkan mereka yang telah berkhidmat dalam lingkungan dan melebihi lima tahun di beberapa bahagian termasuk Bahagian Perolehan, Kewangan dan Kontrak.

Katanya, pertukaran dibuat berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 Panduan Pertukaran Pegawai Awam selain susulan kes penyalahgunaan kuasa di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.

Beliau walau bagaimanapun menegaskan, semua pegawai yang dikenal pasti itu bukan disyaki melakukan kesalahan sebaliknya pertukaran dibuat berdasarkan pekeliling berkenaan bagi mengelakkan ketirisan.

“Ada dalam kalangan pegawai ini telah memegang satu jawatan itu selama 10 tahun tetapi pertukaran ini bukan menunjukkan mereka telah melakukan kesalahan. Mereka ini pegawai yang baik.

“Oleh kerana satu dan dua orang yang membawa contoh tidak baik kepada perkhidmatan awam, kita tidak mahu moral penjawat awam terganggu kerana sikap satu dan dua pegawai yang tidak amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Bintang Indeks SSR Agensi Sektor Awam 2015-2016 dan Kempen Derma Bahan Bacaan Take A Break: Read@Putrajaya 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah;
Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Zainal Rahim Seman dan Timbalan Ketua Setiusaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Othman Mahmood.
Ali berkata demikian seba
gai mengulas saranan yang telah dibuat supaya pegawai memegang jawatan sensitif seharusnya ditukarkan dalam tiga hingga lima tahun perkhidmatan.

Menurutnya, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 Panduan Pertukaran Pegawai Awam, ketua jabatan boleh menukarkan pegawai yang menyandang jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.

Beliau menjelaskan, jawatan yang sensitif adalah jawatan yang penyandangnya terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa menguatkuasakan undang-undang, terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa memproses sesuatu permohonan yang boleh menghasilkan pulangan kewangan atau habuan.

Jawatan sensitif juga termasuk pegawai yang menjalankan tugas membuat bayaran atau kutipan hasil daripada pelanggan dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan budi bicara sama ada seseorang itu layak atau tidak mendapat sesuatu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan audit ke atas KBS dan agensi-agensi dibawahnya, Ali memberitahu, Jabatan Audit Negara akan menyerahkan laporan audit tersebut kepada pihak beliau hujung bulan ini.
“Kita akan lihat apa cadangan yang diberikan dan mencari jalan untuk mengatasi apa-apa kelemahan yang ada sehingga berlakunya ketirisan seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Ali menafikan ura-ura peletakan jawatan Peguam Cara Negara, Datuk Azailiza Mohd. Ahad seperti yang tersebar dalam kalangan pengamal media.

“Tiada peletakan jawatan,” katanya ringkas.

Utusan Malaysia Online