Tanggapan semua kerja boleh ‘dipermudahkan’ atau diselesaikan dengan pemberian sedikit ‘duit kopi’ di peringkat budak pejabat, peon, kakitangan perkhidmatan kaunter dan anggota penguat kuasa selalu kedengaran.

Beberapa siri tangkapan dan pendakwaan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-olah membenarkan lagi persepsi ini. Imej penjawat awam tidak pernah ‘bersih’ daripada pandangan sedemikian walaupun hakikatnya kakitangan yang menjunjung tinggi budaya integriti lebih besar jumlahnya dibandingkan dengan pelaku-pelaku rasuah.

Pada bulan lalu ada dua kes ­rasuah yang menjadi tumpuan ramai melibatkan kakitangan kerajaan atau agensi awam. Kedua-duanya adalah kes penyelewengan dana kerajaan yang melibatkan jumlah jutaan ringgit. Ekoran daripada kes tersebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian. Beberapa kakitangan sebuah agensi kerajaan turut ditahan dalam minggu yang sama bagi membantu siasatan kes penyelewengan melibatkan pembelian satu hartanah di luar negara.

Dua kes tersebut serta kes-kes yang berlaku sebelum ini mahu tidak mahu terus menguatkan persepsi tidak baik orang ramai bahawa budaya rasuah sudah berakar umbi dan sukar dibendung. Malah apabila ‘jerung-jerung besar’ jabatan kerajaan mula ditangkap dan didakwa, sangka buruk segelintir masyarakat membesar bahawa amalan rasuah berlaku di semua peringkat dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat tertinggi. Begitu dahsyat dan berat sekali tuduhan sedemikian!

Sudah tentu pandangan buruk seumpama itu kalaupun tidak banyak, sedikit pun tetap menjejaskan moral dan imej kakitangan dan perkhidmatan awam yang selama ini sudah dipandang serong. Mereka yang bekerja di bahagian-bahagian yang melibatkan hubungan terus dengan pelanggan seringkali dipandang ‘semacam’ walaupun sebahagian besar daripada mereka bekerja dengan jujur dan penuh dedikasi bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pandangan sedemikian mungkin disebabkan ada sahaja kes-kes baharu melibatkan jenayah rasuah dilaporkan setiap hari. Meskipun yang ditangkap itu lebih banyak ‘ikan bilis’ dan sekali sekala ‘ikan jerung,’ keadaan tersebut tetap tidak mengubah persepsi negatif mereka.

Ini belum lagi ditambah dengan pelbagai pendedahan yang dibuat oleh ahli-ahli politik berhubung perkara yang sama. Walaupun perkara itu tidak benar atau separuh benar, tokok tambah dengan ramuan berperisa politik menjadikannya seolah-olah betul. Ramai yang percaya meskipun sebahagian kes yang dibawa ke mahkamah membuktikan sebaliknya atau tidak benar.

Sebenarnya kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk mencegah amalan buruk yang sudah menjadi barah dalam masyarakat ini. Banyak program, pendekatan dan mekanisme bagi memupuk budaya integriti, jujur dan bertanggungjawab dalam bertugas sudah disemai sejak dari hari pertama setiap penjawat awam menerima aku janji sebagai kakitangan awam. Bagaimanapun tidak semua mampu bertahan memegang sumpah yang dilafazkan sehingga ke hari terakhir berkhidmat. Sebahagian yang terlibat cepat kelabu mata lebih-lebih lagi setelah memegang jawatan penting dan sensitif.

Lantas, pendekatan menukar, mengehadkan atau menggilirkan para pegawai yang menyandang jawatan sensitif di bahagian-bahagian sensitif atau dengan bahasa mudah ‘lubuk duit’ satu langkah yang amat tepat.

Semua orang tahu apa peranan Bahagian Perolehan, Bahagian Kewangan dan Bahagian Kontrak dalam sesebuah kementerian. Bahagian ini memang dikenali sebagai bahagian ‘paling sensitif.’ Cabaran bekerjanya sungguh besar dan petugas-petugasnya perlu memasang benteng integriti dan keimanan yang paling kukuh.

Pendekatan sebegini menunjukkan kerajaan serius untuk memben­dung ketirisan, penyelewengan atau perbuatan rasuah. Mengehadkan setiap pegawai bertugas di satu-satu bahagian kepada tiga hingga lima tahun adalah wajar. Membiarkan mereka bertugas di bahagian-bahagian yang sama sehingga berpuluh tahun boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai ‘ancaman integriti.’

Dalam masa yang sama, amalan mengekalkan seorang pegawai bertugas sehingga berpuluh tahun lamanya di satu bahagian sahaja juga tidak adil kepada penjawat awam itu sendiri dan kakitangan lain. Mereka perlu diberi pen­dedahan menjadi pegawai serba boleh. Langkah yang mula dikuatkuasakan bulan ini mungkin tidak disenangi oleh segelintir pegawai terlibat. Bagi kakitangan kerajaan yang sentiasa bekerja penuh integriti, pertukaran atau penggiliran seperti itu bukan satu isu apatah lagi satu masalah.

Kerajaan tidak boleh mengalah dalam perjuangan menjadikan per­khidmatan awam dan penjawat awam satu perkhidmatan yang bersih dan berintegriti. Perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu per­khidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama dalam setiap praktisnya.

Utusan Malaysia Online