Menjangkau usia 70 tahun penubuhan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), banyak peru­bahan yang berfokus kepada aspek memberi khidmat cemerlang kepada pelanggan dilakukan.

Salah satu daripadanya mewujudkan perkhidmatan kaunter berkualiti bagi memudahkan orang ramai berurusan termasuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, menukar hak milik kenderaan dan pelbagai lagi.

Organisasi itu turut menguruskan pungutan hasil serta menguatkuasakan akta pengangkutan secara telus dan berkesan.
Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa kaunter JPJ sekitar ibu negara termasuk di ibu pejabat JPJ Wilayah Persekutuan, di Setapak dan JPJ negeri Selangor, cawangan Petaling Jaya, di Jalan Sultan mendapati perkhidmatan kaunter yang ditawarkan masih belum berada pada tahap memuaskan.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri berurusan di kaunter perkhidmatan mendapati kualiti penyampaian masih boleh dipertingkatkan.

Kualiti penyampaian yang dimaksudkan adalah sikap dan imej positif yang ditunjukkan petugas kaunter.

Rata-rata orang ramai yang ditemui berpandangan sebagai sebuah jabatan berorientasikan perkhidmatan, layanan mesra, ramah dan membantu orang awam yang berurusan perlu ditunjukkan petugas.

Saranan itu bagi memastikan matlamat JPJ memberi perkhidmatan berinovatif dan berkualiti terhadap pe­langgan tidak tersasar.

Turut mahu diberi perhatian, perkhidmatan kiosk mySikap bagi memudahkan urusan memperbaharui cukai jalan, lesen memandu, bayaran saman atau pe­r­khidmatan secara dalam talian diperluaskan.

Kemudahan kendalian JPJ itu banyak memberi manfaat kepada orang ramai yang tidak mahu ber­atur panjang di kaunter.

Utusan Malaysia Online