Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Ne­gara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (gambar) berkata, sehu­bung­an itu, semua penja­wat awam di negara ini diminta meningkatkan pro­duktiviti dan daya usaha mereka dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rak­yat berikutan pe­laksanaan rasionalisasi berkenaan.

“Walaupun kita lihat hasil yang kita peroleh berkurangan kerana penurunan harga minyak dan lain-lain, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016 lalu.

“Oleh itu, saya meminta semua penjawat awam untuk melihat ia sebagai satu berita yang baik kepada mereka dan saya berharap semua penjawat awam meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pemberian Hadiah Pertandingan Mencipta Logo Korporat MyHSR Corp di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ali berkata, pada keseluruhannya, pengumuman pekeliling yang melibatkan 252 skim perkhidmatan tersebut menunjukkan berlaku penambahbaikan yang menyebabkan peningkatan gred dan kelayakan mengikut gred.

“Salah satu penambahbaikan adalah kita perkenalkan gaji minimum yang sebenarnya lebih tinggi daripada yang diumumkan bagi keseluruhannya. Ini adalah untuk gred terendah iaitu Gred 11 dan kalau diambil kira elaun diterima, kita anggarkan mereka menerima sebanyak RM1,500 pendapatan bersih ,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya berhubung kos perbelanjaan kerajaan berikutan langkah tersebut, Ali menjelaskan, kerajaan secara kese­luruhan akan menanggung hampir RM1 bilion dari segi perbelanjaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengumumkan Peke­liling Perkhidmatan Bilangan 1 Ta­hun 2016: Rasionalisasi Skim Perkhid­matan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia berkuatkuasa 1 Julai ini.

Menerusi pekeliling tersebut, Gaji Permulaan Terendah (GPT) dalam Perkhidmatan Awam adalah RM1,200 sebulan selain melaksanakan penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JGMM).

Serentak dengan itu, pegawai awam turut menerima faedah pemindahan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kecuali yang terlibat dalam pemindahan ke gaji permulaan yang baharu di JGMM baharu.

Dalam pada itu, rasionalisasi yang dilakukan turut memperluaskan peluang pemegang kelayakan kemahiran untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam dengan memasukkan kelayakan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam skim perkhidmatan tertentu.

Utusan Malaysia Online