Tahun lalu, seramai 398 penjawat awam ditangkap kerana rasuah. Jumlah itu meningkat 173 orang berbanding tahun 2014. Peningkatan hampir sekali ganda.
Untuk dua bulan pertama tahun ini sahaja 98 kakitangan kerajaan di peringkat paling tinggi sehinggalah ke staf sokongan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Statistik itu belum termasuk kes seorang penjawat awam berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM38.4 Juta. Kes rasuah yang dianggap paling teruk dalam permulaan tahun ini.
Nilai suapan yang dihadapi pegawai yang menduduki senarai kelapan terpenting dalam sebuah kementerian itu boleh menyamai nilai hampir 300 buah rumah mampu milik.
Gejala ini amat serius. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah sektor penting yang diberi tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kerajaan terbaik kepada rakyat.
Ia sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej kerajaan di mata dunia.
Jika tidak dibendung, penyakit sosial ini yang mungkin dianggap amalan biasa oleh sesetengah pihak boleh menjadi barah yang sukar diubat. Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu.
Pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa baru-baru ini misalnya, untuk menukar pegawai yang menyandang jawatan sensitif ke bahagian atau kementerian lain, antara tindakan drastik yang boleh dipuji.
Semua pegawai tersebut merupakan mereka yang telah berkhidmat dalam lingkungan dan melebihi lima tahun di beberapa bahagian termasuk Bahagian Perolehan, Kewangan dan Kontrak.
Sebenarnya pekeliling berkaitan tindakan itu telah pun wujud sejak tahun 2004. Tetapi mengapa ia tidak diguna pakai?
Jika dilihat, pegawai KBS itu pun telah memegang jawatan tersebut sudah lapan tahun sejak 2008 lagi - melebihi yang sepatutnya.
Sebelum ini pun, CUEPACS pernah mencadangkan sejak 2014 untuk mewajibkan setiap agensi penguat kuasa terutamanya, tidak menempatkan seseorang pegawai atau anggota di satu-satu kawasan melebihi lima tahun.
Langkah tersebut bertujuan mengelak mereka berasa ‘selesa’ di sesuatu tempat sehingga mendedahkan mereka kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Tetapi tidak mengapalah. Mungkin pekeliling ini terlepas pandang. Namun sekurang-kurangnya ada tindakan tegas diambil selepas kes rasuah paling jijik itu.
Kita harap ada sinar di hujung terowong untuk membetulkan yang biasa. Bagaimanapun ‘sinar’ itu tidak akan bercahaya jika tidak ada kerjasama daripada semua pihak.
Baik di peringkat pemimpin tertinggi - (menggariskan dasar dan kaedah untuk membanterasnya), mahupun pihak pengurusan di sektor awam dan swasta perlu serius menggunakan kaedah yang digariskan itu untuk menanganinya.
Orang awam juga tidak terkecuali. Jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada mereka ini. Sogokan di peringkat bawahan inilah yang membuka jalan kepada gejala itu.
Kita yakin jika setiap orang bertanggungjawab dan berintegriti, sasaran Malaysia untuk memastikan negara berada dalam kalangan 30 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2020 pasti tercapai.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment