Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 pegawai telah ditukarkan secara dalaman di jabatan masing-masing manakala selebihnya telah bertukar jabatan dan kementerian.

Kata beliau, pertukaran seumpama itu akan dijadikan sebagai amalan bagi kerajaan mulai sekarang dalam usaha memastikan seseorang pegawai itu tidak memegang jawatan ter­tentu dalam tempoh yang lama.

“Saya ingin menegaskan bahawa pegawai-pegawai yang ditukarkan ini berprestasi cemerlang, mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Apa yang penting adalah sumbangan mereka diberikan kepada agensi-agensi yang lain.

“Pertukaran ini berlaku dari se­ma­sa ke semasa, apabila seseorang mencapai tiga hingga lima tahun ke atas, kalau jawatan itu terlalu sensitif lebih elok tukarkan mereka. Pegawai-pegawai ini juga seme­mangnya faham tentang garis panduan yang dikeluarkan oleh perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Boling Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kebangsaan Piala KSN dan Pertandingan Boling Persahabatan Pesara di sini hari ini.

Sebelum ini, Ali mengumumkan sebanyak 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif dalam kerajaan akan ditukarkan secara dalaman atau ke kementerian lain bermula bulan ini.

Katanya, semua pegawai itu telah dikenal pasti dan melibatkan­ mereka yang berkhidmat dalam lingkungan dan melebihi lima tahun di beberapa bahagian termasuk Bahagian Perolehan, Kewangan dan Kontrak.

Dalam pada itu, ditanya berhubung kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan ketika ini, Ali memberitahu, kekangan tersebut tidak memberikan impak negatif kepada kebajikan penjawat awam di negara ini.

Pada masa sama katanya, beberapa perkara yang telah dijanjikan kerajaan kepada penjawat awam sebelum ini akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula Julai depan.

Utusan Malaysia Online