Isu berkaitan pembangunan dan keselamatan sekolah di samping kesiapsagaan
meningkatkan keupayaan integriti dalam kalangan warga Kementerian
Pendidikan (KPM) antara penekanan utama yang diberi tumpuan menyeluruh
oleh Ketua Setiausaha KPM yang baharu, Datuk Seri Alias Ahmad. Ikuti temu
bual khas wartawan BH, Mohd Khairul Anam Md Khairudin bersama Alias yang
baru sahaja menerajui jawatan itu September lalu mengenai agenda yang
bakal dilaksanakan beliau ke arah mengarusperdanakan lagi sektor
pendidikan negara pada tahap terbaik.
S: Apakah misi, matlamat serta cabaran yang perlu ditempuhi Datuk Seri
dalam menerajui KPM?
J: Keutamaan saya adalah untuk melakukan transformasi dalam meningkatkan
lagi sistem pendidikan negara ini ke tahap tertinggi setaraf dengan negara
maju lain. Apa yang lebih penting, kami perlu melakukan penambahbaikan dan
memperbaiki sebarang kelemahan dari semasa ke semasa untuk mencapai
kejayaan. Malah, kementerian telah melaksanakan sistem pendidikan
berdasarkan standard pendidikan antarabangsa melalui Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 20132025. Pelan ini juga adalah sebagai asas
filosopi dan dasar negara yang menjadi garis panduan untuk semua. Pada
masa sama, kementerian giat memperluaskan Latihan Teknikal dan Vokasional
(TVET) serta Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
(STEM) dalam kalangan pelajar. Kesemua ini adalah pendekatan terbaik dan
banyak lagi transformasi yang perlu dilakukan selepas ini. Kami juga
memperkenalkan 1BestariNet iaitu permulaan kita untuk menerokai suatu era
baharu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT). Kita mesti menyediakan platform. Kita harus
fahami untuk memasuki era pembelajaran berasaskan ICT perlu meletakkan
sekolah itu dengan infrastruktur yang mencukupi. Kita sudah mulakan dengan
1BestariNet. Melalui fasa pertama ini kita menyediakan infrastruktur. Jika
akses internet semakin meluas, pelajar tidak perlu lagi membawa buku teks,
sebaliknya hanya menggunakan gajet sedia ada.
S: KPM bukan sahaja berhadapan isu berkaitan akademik pelajar,
sebaliknya masalah sosial seperti keselamatan di sekolah, gangsterisme,
kes buli dan keruntuhan moral yang semakin berleluasa. Apakah pandangan
Datuk Seri mengenai isu ini?
J: Pengetua/Guru Besar adalah bertanggungjawab ke atas disiplin murid.
Kuasakuasa ini diperuntukkan di bawah Peraturanperaturan (Disiplin
Sekolah) 1959 di bawah Peraturan 4 dan 8. Hukuman disiplin ke atas murid
adalah dikenakan bergantung kepada beratnya salah laku dilakukan mereka.
Hukuman berbentuk nasihat, amaran keras, rotan, gantung persekolahan dan
buang sekolah melalui Surat Pekeliling 6A / 1975, proses gantung dan buang
adalah perkara yang boleh dikenakan ke atas murid oleh pihak pentadbir
sekolah. Hukuman dikenakan adalah lebih berunsur pendidikan selain untuk
memberi pengajaran kepada murid terhadap kesalahan yang dilakukan. Pada
hemah saya, ibu bapa, komuniti setempat serta pihak berkepentingan lain
seharusnya proaktif dalam usaha mengembleng tenaga membantu pihak sekolah
terutama dalam menangani isu membabitkan salah laku pelajar di sekolah.
S: Bagaimanakah Datuk Seri melihat kualiti perkhidmatan guru itu
sendiri?
J: KPM giat melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan lagi kualiti
kerja warga pendidik di negara ini memandangkan kementerian memiliki lebih
400,000 guru di seluruh negara. Ini termasuk menerusi Program Sekolah
Amanah iaitu sebanyak 83 sekolah ketika ini. Lebih membanggakan lagi, ada
seorang guru yang berjaya menerima Anugerah Guru Terbaik ASEAN yang
diadakan di Bangkok, tahun ini. Pencapaian membanggakan ini jelas
menunjukkan kualiti guru kita berada pada tahap yang baik. Kita berada
pada landasan yang betul bagi memperkasa sistem pendidikan di negara ini.
S: Berkaitan soal integriti, apakah yang Datuk Seri akan lakukan untuk
memastikan semua warga kementerian bebas dari penyalahgunaan kuasa dan
rasuah?
J: Isu integriti adalah perkara penting bagi seseorang penjawat awam
dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Kami juga
meningkatkan bahagian integriti di mana kami turut menempatkan pegawai
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjelaskan berkaitan
soal pematuhan, pemahaman serta penguatkuasaan mengenai aspek integriti
kepada semua warga KPM. Justeru, saya ingin menegaskan bahawa sekiranya
berlaku di dalam kementerian, saya tidak akan bertolak ansur dan akan
mengambil tindakan sewajarnya. Kami juga akan mengadakan Hari Integriti
KPM dalam masa terdekat ini di mana kita akan menobatkan dua Ikon
Integriti daripada kementerian ini sendiri. Ini secara tidak langsung
memberi pendedahan dan kesedaran kepada semua penjawat awam untuk terus
mengutamakan aspek integriti dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.
S: Apakah harapan Datuk Seri sepanjang menyandang jawatan ini?
J: Pada hemah saya, pemikiran strategi antara aspek penting yang perlu
dimiliki oleh setiap warga kerja KPM. Keduanya, mereka perlu bekerja dalam
konteks bersamasama serta berkumpulan. Ketiganya, pendekatan Strategi
Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) perlu diperluaskan dalam setiap agensi di
kementerian ini. Keempat, saya mahu melihat kementerian ini terus bersinar
ke hadapan, di samping ramai yang bertindak sebagai penggerak dan pemimpin
untuk membantu organisasi mencapai kecemerlangan, bukan setakat menjadi
pengikut sematamata.
INFO
Misi KPM
- Pelan Pembangunan Pendidikan ASEAN 2016-2020 adalah dokumen strategik
bagi memastikan hala tuju pembangunan pendidikan di rantau ASEAN
- KPM melalui Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV)
melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) sejak tahun 2012
bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran perdana
- Pelbagai langkah dan usaha dilakukan KPM ke arah memastikan TVET dapat
memenuhi keperluan negara serta kehendak pasaran kerja supaya tidak
bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara
- Kemudahan prasarana ICT yang lengkap kepada sekolah termasuk kemudahan
internet dan pembelajaran maya memberi peluang kepada semua murid untuk
mendapatkan akses yang sama rata seiring pembelajaran berkualiti
Berita Harian Online