Wednesday, November 23, 2016

Pendedahan kes rasuah buka mata umum: KSN

Sepang: Pendedahan kepada umum mengenai kes rasuah membabitkan penjawat
awam mampu memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat termasuk penjawat
awam sendiri, mengenai musibah akibat jenayah itu.  

  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata walaupun ada
beberapa kes berprofil tinggi membabitkan penjawat awam dilaporkan media
kebelakangan ini, aliran menunjukkan jumlah kes mengaitkan golongan itu
sebenarnya berkurangan.

  "Pada 2013, jumlah kes rasuah (membabitkan penjawat awam) di bawah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melebihi 190 kes tetapi pada
2015, ia susut kepada 123 kes.

  Masuk bawah kes tatatertib

  "Ini menunjukkan penurunan tetapi kadangkala, kes seumpamanya
diketengahkan dan ia bagus supaya masyarakat tahu apa yang berlaku. SPRM
perlu membuat tugasnya.

  "Kita pada peringkat perkhidmatan awam, (kes) yang tidak termasuk di
bawah jenayah, kita akan masukkan di bawah kes tatatertib," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Maklumat (CIO)
Convex Sektor Awam 2016, di sini semalam. 

  Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan
Pengurusan (MAMPU), Datuk Seri Zainal Rahim Seman.


Berita Harian Online

No comments: