Menteri di Jabatan Perdana Men­teri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut pen­ting bagi menambah baik kualiti perkhidmatan serta menjadikannya titik tambah dalam mencapai visi transformasi negara.

“Perkembangan pesat teknologi maklumat, persaingan dalam iklim ekonomi yang semakin men­cabar, jangkaan rakyat semakin tinggi telah memberi ca­baran besar kepada kerajaan.

“Oleh itu, penjawat awam perlu bergerak dengan lebih pantas dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya ke­tika berucap menyempurnakan Hari Inovasi dan Kecemerlangan JPM 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Setiausaha Kanan JPM, Tan Sri Othman Mahmood.

Dalam pada itu, Nancy berkata, penjawat awam perlu responsif terhadap segala aduan dan maklum balas yang diberikan oleh rakyat.

Sehubungan itu, proses ke arah memantapkan penyampaian perkhidmatan dengan pendekatan baharu memerlukan komitmen yang tinggi dalam semua pe­ringkat.

“Dalam hal ini, adalah pen­ting bagi penjawat awam me­nguasai ilmu pengetahuan yang luas dan bersikap terbuka dalam menghadapi arus perubahan,” ka­tanya.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa komited dalam menyu­burkan amalan inovasi dan penubuhan Agensi Inovasi Negara (AIM) iaitu salah satu agensi di bawah JPM telah menjadi pemacu kepada kejayaan amalan inovasi.

Kata beliau, pelbagai inisiatif dirancang bagi memastikan negara ini berada dalam landasan yang tepat ke arah menuju sebuah negara maju pada tahun 2020.

“Inovasi turut diperkenalkan melalui Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem pendidikan negara bagi memberi pendedahan awal pembudayaan inovatif dan kreatif kepada gene­rasi muda pada hari ini,” katanya.

Utusan Malaysia Online