Saturday, November 26, 2016

'KAMI TERANIAYA'

Shah Alam: Kira-kira 700 penuntut Universiti Antarabangsa Al Madinah
(MEDIU) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengembalikan
pengiktirafan kepada universiti berkenaan.

  Wakil penuntut, Mohd Zulnazmi Zulkifli berkata, pengiktirafan universiti
itu digantung sejak 2014 membabitkan aspek permohonan kerja di bawah
perkhidmatan awam.

  Katanya, KPT mengekalkan aspek Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
membabitkan bidang pembelajaran ijazah sarjana muda, sarjana dan
kedoktoran.

  "Kami mengetahui hal ini (penggantungan) daripada laman web
pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menunjukkan MEDIU tiada
dalam senarai dipaparkan.

  "Apa yang kami kesalkan, JPA atau KPT tidak memberi makluman berhubung
penggantungan pengiktirafan MEDIU, malah tiada siasatan dilakukan sebelum
penggantungan dilakukan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

  Menurut Mohd Zulnazmi, pada pertengahan tahun ini, KPT meminta MEDIU
menyelesaikan isu sukatan pelajaran Aqidah bersama Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jika mahu
pengiktirafan itu dikembalikan.

  "Akibatnya, penuntut yang tamat pengajian menjadi mangsa dan turut
memberi kesan kepada mereka yang masih belajar di MEDIU.

  "Kami mahu KPT menjelaskan perkara ini dan berharap ia dapat
diselesaikan segera kerana ia membabitkan masa depan penuntut," katanya.
 

Harian Metro Online

No comments: