Wednesday, November 23, 2016

Patuhi, tingkat etika penggunaan media sosial

Kuala Lumpur: Penjawat awam perlu menjadikan media sosial sebagai saluran
untuk memudahkan tugasan harian mereka, bukan menyebarkan maklumat
kerajaan.

  Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata setiap jabatan perlu memperhalusi
tahap pemahaman penjawat awam terhadap keperluan media sosial yang
termaktub dalam undang-undang sedia ada bagi memastikan tidak berlaku
kebocoran maklumat sulit.

  Pastikan patuhi garis panduan

  "Ia bagi memastikan mereka (penjawat awam)  mematuhi garis panduan
ditetapkan dan arahan jabatan mereka sebagai langkah untuk mengelak
kebocoran rahsia kerajaan.

  "Mereka perlu sedar jika aspek pemeliharaan kerahsiaan dokumen
terperingkat tidak diberikan perhatian serius oleh penjawat awam ia bakal
mengundang padah kepada keselamatan negara," katanya kepada BH, semalam.

  Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu terus memperkasakan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) seiring dengan peredaran zaman.
  Mudahkan tugas harian

  "ICT menerusi media sosial membuka dunia komunikasi dengan lebih luas
tanpa sempadan dan ini menjimatkan waktu. 

  "Zaman sekarang, apa sahaja maklumat yang diperlukan menerusi aplikasi
Whatsapp dan Facebook  boleh diperoleh dengan mudah. 

  "Namun, mereka yang menggunakannya perlu mempunyai etika dengan tidak
mementingkan diri, merosakkan dan menjatuhkan individu lain, melakukan
jenayah siber serta mempermainkan isu keselamatan rakyat dan negara,"
katanya.


Berita Harian Online

No comments: