Wednesday, November 30, 2016

Minta JAKIM kaji langkah seragam gred jawatan imam negeri, daerah

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta melakukan
kajian terhadap langkah penyeragaman gred jawatan untuk imam masjid negeri
dan daerah di seluruh negara.

  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom,
berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini mencadangkan supaya
gred 48 dikhususkan untuk imam masjid negeri, manakala gred 41 bagi imam
masjid daerah.

  Jelas beliau, sekiranya syor itu belum dilaksanakan, ia perlu dilapor
dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yang
dianggotai oleh menteri besar serta ketua menteri.

  "Kita mahu gred perjawatan imam negeri dan imam daerah lebih tersusun,
selain ingin mengiktiraf peranan mereka sebagai barisan utama kepemimpinan
institusi masjid," katanya pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Imam
Peringkat Kebangsaan 2016 di sini, semalam.

  Yang turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha dan
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Datuk Razali
Shahabudin.

  Kenaikan elaun imam

  Dalam Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan
sebanyak 15,000 imam bawah JAKIM di seluruh negara akan menerima manfaat
kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM850 sebulan, manakala RM500 pula
akan diberikan secara bayaran sekali gus kepada hampir 16,000 bilal dan
siak di seluruh negara.

  Selain itu, elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dinaikkan
daripada RM800 kepada RM900 sebulan, bagi manfaat hampir 33,000 guru di
seluruh negara.

  Kata Jamil Khir, pelaksanaan ketetapan dalam Bajet 2017 itu wajar
dilaksanakan segera dan pihaknya juga sedang memikirkan program lain yang
bersesuaian supaya pengurusan masjid akan lebih tersusun.

Berita Harian Online

No comments: