Saturday, November 19, 2016

Psikometrik nilai integriti kakitangan awam

Kuala Lumpur: Kaedah psikometrik dicadang bagi menilai integriti
kakitangan awam dalam usaha meningkatkan kualiti integriti dan tadbir urus
perkhidmatan awam. 

  Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Anis Yusal Yusoff,
berkata kaedah sama terbukti berkesan dalam menilai kakitangan di sektor
berisiko tinggi yang terbabit dalam isu berkaitan integriti.

  Katanya, IIM mempunyai program khusus bagaimana kaedah psikometrik boleh
diguna pakai dalam menilai integriti kakitangan awam.

  Enam agensi sudah laksana

  "Setakat ini, kaedah itu sudah dilaksanakan di enam agensi kerajaan yang
berkaitan dengan sektor berisiko tinggi membabitkan isu integriti.

  "Polis menjalankan kaedah sama untuk pengambilan pegawainya, bermakna
hanya yang lulus ujian itu layak dilantik dan menjawat jawatan," katanya
ketika ditemui selepas Konvensyen Integriti Nasional 2016, di sini,
semalam.

  Beliau mengulas lapan resolusi dalam konvensyen itu yang antara lain
mencadangkan kaedah psikometrik diguna untuk menilai profil integriti
individu dalam proses pelantikan pegawai baharu di sektor awam. 

  Dr Anis Yusal berkata, lapan resolusi termasuk kaedah psikomentrik itu
akan diaudit IIM sebelum dibentangkan kepada Kabinet. 
 
  Beliau berharap perkara itu dipertimbangkan kerajaan untuk memantapkan
lagi imej tadbir urus kerajaan yang tercalar dengan beberapa isu rasuah
dan salah guna kuasa dengan terbaharu membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah
(JANS). 

  INFO

  Lapan resolusi dicapai dalam Konvensyen Integriti Nasional

  - Pelaksanaan instrumen psikometrik diguna bagi menilai profil integriti
individu sebagai tapisan dalam proses pelantikan pegawai baharu di sektor
awam

  - Pemimpin politik disaran memberi fokus kepada penggubalan dasar dan
undang-undang bagi mengurangkan campur tangan dalam perkhidmatan awam

  - Disyorkan pelaksanaan proses pengesahan terhadap semua laporan
pengisytiharan harta yang meragukan dalam kalangan penjawat awam

  - Memupuk minat mendalam terhadap kerja dan pematuhan etika melalui
latihan berterusan bagi meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam

  - Mempertingkatkan jalinan kerjasama strategik dengan pihak media bagi
menjalin persefahaman lebih kukuh untuk memperkasakan imej perkhidmatan
awam

  - Menyarankan supaya latihan praperkhidmatan untuk jawatan berisiko
tinggi dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan dan penilaian rapi dibuat
sebelum dilantik dalam perkhidmatan
   
 

Berita Harian Online

No comments: