Monday, November 21, 2016

Henti budaya beri amaran pentadbiran

Kuala Terengganu: Kerajaan mengeluarkan pekeliling dan amaran kepada ketua
jabatan supaya menghentikan budaya memberi amaran pentadbiran kepada
kakitangan yang melakukan kesalahan tatatertib kepada semua peringkat
jabatan kerajaan.

  Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, semua ketua
jabatan diminta menghentikan budaya itu kerana ia tidak tertakluk dalam
peraturan tatatertib perkhidmatan awam.

  Beliau berkata, tindakan ketua jabatan yang hanya mengeluarkan amaran
pentadbiran kepada kakitangan bermasalah menyebabkan kakitangan yang
melakukan kesalahan terlepas daripada dikenakan hukuman.

  "Ramai ketua jabatan hanya mengeluarkan amaran pentadbiran kepada
kakitangan yang melakukan kesalahan tatatertib kerana mereka mahu menjadi
ketua yang baik untuk pekerja di bawahnya sedangkan ia adalah satu
kesalahan.

  "Amaran pentadbiran bukan satu hukuman dan pesalahnya tidak dirujuk
kepada pihak berkuasa tatatertib. Penjawat awam yang dikesan melanggar
peraturan dan melakukan kesalahan sepatutnya dikenakan tindakan tatatertib
bukannya diberi amaran pentadbiran yang jelas tidak memberi sebarang
hukuman kepada kakitangan terbabit.

  "Berbeza dengan amaran tatatertib, kakitangan yang melakukan kesalahan
boleh dikenakan tindakan bermula daripada peringkat amaran, potongan gaji,
tidak berpeluang naik pangkat selama setahun sehingga tindakan dibuang
kerja," katanya selepas Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Terengganu
bersama Ketua Setiausaha Negara di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Harian Metro Online

No comments: