Thursday, November 24, 2016

Tiada kompromi

Putrajaya: Seramai 19 pegawai akan mula menjalani prosiding tatatertib
susulan 18 teguran daripada 42 teguran punitif (hukuman) menerusi Laporan
Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, tindakan
tatatertib atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap
pegawai sekiranya didapati wujud asas kukuh bahawa pegawai berkenaan
melakukan salah laku.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan sehingga kelmarin, tiga daripada 10
teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib membabitkan
lima pegawai iaitu tiga Gred 48 ke atas dan dua lagi Gred 44 ke atas.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sudah mengemukakan surat supaya
Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan bagi menyiasat 32 teguran punitif
membabitkan kerajaan negeri dan badan berkanun persekutuan," katanya
ketika berucap pada sesi bersama media susulan Laporan Ketua Audit Negara
Tahun 2015 Siri 2 di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi
Zainal; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar
Abdullah dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Katanya, 16 teguran masih dalam siasatan manakala, satu hasil
pengauditan akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
membabitkan kes penstabilan harga minyak masak di Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Ali berkata, berdasarkan hasil siasatan itu, beliau berpandangan teguran
yang dikenal pasti di peringkat awal ada unsur punitif dan ia hendaklah
diteliti lanjut oleh Jabatan Audit Negara bagi memastikan sememangnya
wujud penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian
pelaksanaan tugas dalam kalangan pegawai awam.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan mengambil langkah proaktif menubuhkan
enam Jawatankuasa Siasatan Khas menyiasat 10 teguran punitif membabitkan
enam kementerian bagi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2.

"Siasatan ini dibuat bagi memperoleh keterangan relevan dari aspek
kesaksian dan keterbabitan pegawai dalam kes dilaporkan," katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan terhadap teguran punitif badan berkanun
persekutuan sehingga semalam (kelmarin), 15 daripada 17 teguran sudah
selesai.

Menurutnya, bagi teguran punitif ke atas agensi peringkat negeri, tiga
daripada 15 teguran membabitkan pegawai di Perak manakala, 12 teguran
masih dalam siasatan.

Dalam laporan siri dua itu, Ali berkata, secara keseluruhan sebanyak 944
teguran membabitkan 95.6 peratus atau 902 teguran pembetulan (corrective)
dan 4.4 peratus atau 42 teguran punitif.

"Enam kementerian dengan 10 teguran punitif membabitkan isu pengurusan
perolehan dan pengurusan projek berkait Kementerian Dalam Negeri,
Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air dan Jabatan Perdana Menteri," katanya.


Harian Metro Online

No comments: