Thursday, November 17, 2016

Buang kerja, potong gaji jika sertai demonstrasi: KSN

Putrajaya: Penjawat awam yang menyertai perhimpunan haram boleh dikenakan
tindakan tatatertib seperti pemotongan gaji atau dibuang kerja jika
pembabitan mereka terbukti.

  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, menegaskan tindakan akan
dikenakan itu berdasarkan pada tahap penyertaan mereka.

  "Sebagai contoh, jika seseorang penjawat awam menjadi ketua dalam
perhimpunan itu, individu terbabit boleh dikenakan hukuman yang paling
berat mengikut peraturan tatatertib kakitangan awam.

  "Saya nasihatkan penjawat awam jangan sertai mana-mana perhimpunan.
Sekiranya masih ada yang berdegil, tindakan yang setimpal akan diambil.

  "Andai kata penjawat awam ini melakukan sebarang jenayah dalam
perhimpunan itu, kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan, namun
perlu diingatkan bahawa tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tetap
diambil terhadap mereka," katanya pada sidang media di sini, semalam.

  Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan
Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di sini, semalam.

  Ali berkata, gambar penjawat awam yang terpampang di media massa atau
sosial menyertai sebarang perhimpunan haram akan dijadikan bukti untuk
tindakan.

  "Sekiranya kita mendapat laporan ada kakitangan awam menyertai
perhimpunan, kita akan siasat. Namun, penjawat awam yang gambarnya
terpampang di surat khabar menunjukkan mereka menyertai perhimpunan haram,
kita terus pecat mereka," katanya.

  Pada 8 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar,
berkata BERSIH 5 belum memenuhi prasyarat untuk menganjurkan sebarang
perhimpunan, Sabtu ini, kerana kedua-dua notis yang dihantar mereka tidak
mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.


Berita Harian Online

No comments: