Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati spesifikasi peralatan dibekalkan kepada peserta program 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) tidak memenuhi keperluan peserta, selain berlaku kelewatan dalam menyalurkan bantuan peralatan kepada peserta.
Di samping itu, PAC mendapati kajian terperinci tidak dilakukan sebelum bantuan diluluskan terutama bagi projek yang dijalankan secara berkelompok.
Pelaksanaan projek berkelompok yang tidak mematuhi garis panduan dan peraturan kewangan juga antara yang dirumuskan dalam laporan PAC mengenai Program 1AZAM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata secara keseluruhan, KPWKM mengambil tindakan terhadap semua isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan mengemas kini status dalam Jabatan Audit Negara.
Beliau berkata, PAC dalam empat syornya menjelaskan jawatankuasa itu memandang serius terhadap kelemahan dalam pelaksanaan program yang menyebabkan berlaku ketirisan.
Kes disiasat SPRM
Katanya, difahamkan kes itu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun PAC mencadangkan supaya perkara itu disiasat semula oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"PAC menggesa kerajaan supaya meneruskan program seperti 1AZAM yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah mendapat manfaat secara terus dan kajian terperinci perlu dilakukan sebelum bantuan diluluskan.
"Bagi program berkonsepkan kelompok, pematuhan ke atas garis panduan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hendaklah dipatuhi.
"Setiap peralatan dibekalkan kepada peserta perlu sesuai dengan keperluan peserta dan proses bekalan bantuan kepada peserta perlu dipercepatkan supaya mereka dapat memanfaatkan bantuan dengan segera," katanya dalam kenyataan semalam.
PAC semalam membentangkan laporan mengenai program 1AZAM yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 di Dewan Rakyat pada 10 November 2014.
Prosiding program 1AZAM yang dijalankan pada 24 Mac 2015 dihadiri Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Sabariah Hassan; bekas Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Rafek Reshidullah.
Bagi prosiding kedua pada 25 Mei 2015, PAC memanggil bekas Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Seri Dr Noorul Aunur Mohd Nur dan bekas CEO YKN, Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd.Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment