Thursday, November 24, 2016

19 berdepan tindakan jika wujud salah laku

Putrajaya: Sembilan belas pegawai kementerian, badan berkanun Persekutuan
dan kerajaan negeri berdepan tindakan tatatertib jika wujud salah laku
dalam pengurusan perolehan serta projek berdasarkan 18 teguran punitif
dalam Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2015 Siri 2.

  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata tiga daripadanya
adalah pegawai Gred 48 ke atas dan dua Gred 44 ke bawah kementerian,
sembilan pegawai badan berkanun Persekutuan dan lima kakitangan kerajaan
negeri.

  "Di peringkat kementerian, prosiding membabitkan tiga teguran audit,
iaitu Pengurusan Perolehan Jabatan Penjara di Kementerian Dalam Negeri dan
Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air.

  "Jumlah (yang akan menjalani prosiding tatatertib) tidak termasuk empat
pesara yang dinamakan dalam siasatan itu. Kita akan cari jalan (untuk
tindakan) kerana pesara tidak boleh dikenakan tindakan tatatertib,"
katanya pada Sesi Bersama Media Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2015
Siri 2 di sini, semalam.

  Ali juga mengumumkan penubuhan enam Jawatankuasa Siasatan Khas bagi
menyiasat 10 teguran punitif di enam kementerian, manakala untuk badan
berkanun dan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengarahkan
supaya Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan.

  Prosiding tatatertib

  "Pada peringkat badan berkanun, sembilan pegawai akan menjalani
prosiding tatatertib berdasarkan 10 teguran membabitkan Felda dan dua
teguran bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

  "Pada peringkat kerajaan negeri pula, lima pegawai yang akan menjalani
prosiding tatatertib bagi tiga teguran membabitkan Majlis Perbandaran
Kuala Kangsar dan Majlis Daerah Selama, Perak," katanya.

  Ali berkata, siasatan ke atas 42 teguran punitif dalam Laporan Ketua
Audit Negara 2015 Siri 2, lapan didapati tiada unsur penyelewengan,
penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian, tetapi memerlukan
penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa, manakala 16 teguran
masih dalam siasatan.

  "Satu lagi hasil audit akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) berhubung skim penstabilan harga minyak masak membabitkan
Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi," katanya.

  Secara keseluruhan, terdapat 944 teguran dalam laporan audit terbaharu
itu membabitkan 902 (95.6 peratus) teguran pembetulan dan 42 (4.4 peratus)
teguran punitif (penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan
kecuaian).

  Ali turut menegur kerajaan negeri dan badan berkanun yang cenderung
mengambil tindakan secara pentadbiran terhadap pegawai terbabit
penyelewengan, salah guna kuasa, salah laku dan kecuaian berdasarkan
laporan audit dari 2012 sehingga kini.

  "Tindakan menghukum penjawat awam dengan hanya memberi amaran secara
pentadbiran harus dihentikan. Semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua
Eksekutif Badan Berkanun perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai
yang bersalah," katanya.

Berita Harian Online

No comments: