Sunday, November 27, 2016

Usah terpengaruh viral di internet pengambilan anggota polis

Dungun: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan viral yang tersebar
di laman sosial berhubung pengambilan jawatan dalam pasukan Pasukan Polis
Diraja Malaysia (PDRM).

  Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata pengambilan
perjawatan polis hanya dikeluarkan melalui laman web Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam (SPA).

  Berikutan itu, katanya, orang ramai perlu melayari laman web SPA untuk
kesahihan berhubung pengambilan jawatan terbabit.

  "Tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu mengelirukan banyak
pihak dan ada di antara mereka pergi ke lokasi yang dimaksudkan bagi
mengisi jawatan berkenaan.

  Layari laman web SPA

  "Pengambilan seperti yang tersebar itu tidak benar. Jadi, kita minta
mereka yang berminat menyertai pasukan polis memohon dengan melayari laman
web SPA," katanya ketika menghadiri majlis Tamat Latihan Kursus Asas
Konstabel Sokongan di Pusat Latihan Polis Rantau Abang, di sini, semalam.

  Seramai 121 konstabel sokongan dari seluruh negara termasuk Sabah dan
Sarawak menamatkan latihan selama empat bulan di situ.

  Sementara itu, Rosli berkata, PDRM menyasarkan pengambilan seramai 1,781
kekuatan membabitkan pangkat Konstabel sokongan hingga inspektor, tahun
depan.

  "Daripada jumlah itu, 60 kekuatan membabitkan pengambilan jawatan
Konstabel lelaki dan wanita dari kalangan Orang Asli, manakala 224
membabitkan jawatan inspektor lelaki dan 1,270 konstabel awam," katanya.

Berita Harian Online

No comments: