BALING 28 Nov. – Penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan tertentu yang bertunjangkan kepada ciri-ciri kendiri seperti membudayakan ilmu, mempamerkan sikap kebolehpercayaan dan keperibadian intergriti yang tinggi.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, mereka juga harus mempraktikkan amalan terbaik yang dinamik, progresif dan sentiasa menepati masa agar dapat mencerminkan kewibawaan sebagai seorang penjawat awam.
“Mereka juga perlu menanam semangat patriotisme yang tinggi dalam diri dan menunjukkan rasa cinta kepada negara serta memberi penekanan dari segi keberhasilan bagi meningkatkan mutu dan kualiti kerja.
“Jadikanlah berfikiran secara kritis dan konstruktif, khususnya dalam usaha mencari penyelesaian secara kreatif dan inovatif. Ia sebagai satu kelaziman dan sentiasa memperbaiki kualiti serta tahap penyampaian perkhidmatan sektor awam,” katanya dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Ketua Pembantu Tadbir Pendidikan Negeri Kedah Darulaman dan Anggota Kumpulan Pelaksana Pendidikan Daerah Baling/Sik di Dewan Tun Abdul Razak, di sini kelmarin.
Menurutnya, Pelan Tindakan Transformasi akan dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya setiap warga kerajaan dapat bersama-sama melaksanakan tugas di luar kebiasaan dan mencari pendekatan kreatif dan inovatif.
“Semangat kerja berpasukan yang tinggi dan semangat kekitaan mampu memaksimumkan sumber terkumpul dan mencapai hasil lebih baik dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai jenis anugerah ataupun ganjaran.
“Anugerah yang diberikan dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk memberi sepenuh perhatian dan daya usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja berkualiti,” katanya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment