Thursday, October 3, 2013

30 lagi kaunter bergerak 1JPJ mudahkan urusan orang ramai

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad (tiga dari kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof (kanan) mendengar penerangan pegawai JPJ pada majlis Hari Ketua Pengarah Bertemu Pelanggan di Besut, Terengganu, semalam. 


BESUT 2 Okt. - Kementerian Pengangkutan akan menambah sebanyak 30 buah van yang berfungsi sebagai kaunter bergerak 1Jabatan Pengangkutan Jalan (1JPJ) bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan itu di kawasan-kawasan tumpuan awam.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penambahan kenderaan bagi memperluas program yang dirintis pada 2011 itu melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta.

Beliau memberitahu, buat masa ini, terdapat tiga buah kenderaan seumpama itu dan pihaknya bersetuju menambah perkhidmatan tersebut melihat kepada sambutan positif orang ramai.

"Ada permintaan daripada JPJ mengenainya dan kita telah meluluskan penambahan sebanyak 30 buah van kaunter bergerak 1JPJ berdasarkan sambutan luar biasa. Kalau berjaya, kita juga akan tambah lagi kaunter bergerak ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Hari Ketua Pengarah Bertemu Pelanggan di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, dekat sini hari ini.

Hishammuddin berkata, langkah menyediakan kaunter 1JPJ itu merupakan pendekatan berkesan dan wajar diperhebat demi kepentingan orang ramai.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kagum dengan 'semangat baharu' JPJ yang bersedia memberi perkhidmatan secara mendekati masyarakat setempat.

"Kalau rakyat tidak dapat ke JPJ, kali ini JPJ yang akan mendekati mereka," katanya.

Hishammuddin turut merujuk peranan beliau ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri sebelum ini yang melaksana pendekatan seumpama itu untuk dimanfaatkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada JPJ kerana menerima pakai pendekatan sedemikian selain semangat baharu kalangan skuad muda JPJ berteraskan elemen perpaduan dan patriotisme demi keselamatan dan kepentingan segenap lapisan masyarakat.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: