Friday, October 25, 2013

Terima teguran dengan terbuka

Farida Mohd. Ali (tiga dari kanan) bersama sebahagian pemenang pembentangan kategori lisan dan poster bagi Konvensyen Jaminan Kualiti Peringkat Kebangsaan Ke-7 2013 di Dewan Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Kota Bharu, Kelantan, semalam

KOTA BHARU 24 Okt. - Pegawai dan kakitangan perkhidmatan kesihatan dari semua peringkat digesa bersikap terbuka kepada sebarang teguran dan perasaan tidak puas hati yang dilontarkan masyarakat kepada mereka.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Farida Mohd. Ali berkata, selaku penjawat awam, mereka sewajarnya perlu sentiasa bersedia mendengar masalah yang dibangkitkan tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, isu pelanggan atau pesakit terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan dan rawatan di perkhidmatan kesihatan adalah antara perkara penting yang mesti difikirkan jalan penyelesaian.
"Saya sendiri pernah turun padang dan turut merasai masalah menunggu terlalu lama yang merupakan isu popular di hospital negara kita.

"Jawapan yang diberi pihak hospital kadang-kadang ada kewajaran tetapi bagi saya kita boleh buat teguran dan betulkan keadaan, jangan kita hanya menutup mata sahaja.

"Jangan kecil hati atau marah apabila menerima kritikan, saya gembira kalau ada teguran kerana dapat tahu ada perkara yang tidak betul berlaku, jadi kita boleh buat sesuatu daripada kita tidak tahu dan mereka atau rakyat di luar sana yang menanggung sengsara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutup Konvensyen Jaminan Kualiti Peringkat Kebangsaan Ke-7 2013, 'Transformasi Sistem Kesihatan - Meletakkan Kualiti Di Barisan Hadapan' di Dewan Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Maimunah A.Hamid.

Farida juga mengingatkan agar kesemua 250,00 warga Kementerian Kesihatan mengubah sikap diri dan organisasi dalam membuat tindakan bagi memastikan penyampaian sistem kesihatan berkualiti yang berterusan.

Dalam pada itu, katanya, beliau menaruh keyakinan peruntukan untuk sektor kesihatan dalam pembentangan Bajet 2014 esok bakal bertambah daripada jumlah RM19.3 bilion yang diterima tahun ini.

"Sungguhpun kenaikan adalah banyak tetapi sebenarnya dari segi nilai perbelanjaan yang kita tanggung dari tahun ke tahun adalah lebih tinggi daripada peningkatan yang kita dapat.

"Saya berharap kita terus pastikan perbelanjaan berhemah iaitu mengutamakan nilai untuk wang dan menumpukan kepada keberhasilan," katanya.

Pada majlis penutup konvensyen tersebut, Farida menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada barisan pemenang pembentangan kategori poster dan lisan iaitu wang tunai berjumlah RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga.

Kategori pembentangan poster telah dijuarai kumpulan pembentang dari Hospital Tengku Fauziah, Hospital Pulau Pinang (kedua) dan Hospital Selayang (ketiga) manakala kategori lisan pula dimenangi Hospital Tengku Ampuan Afzan selaku juara, Hospital Tuanku Jaafar (kedua) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (ketiga).

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: