Monday, October 28, 2013

SPRM Wujud Bahagian Pengurusan Integriti Agensi

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi bagi menyelaras fungsi Unit Pengurusan Integriti, yang akan diperkenal di setiap kementerian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata unit itu akan berperanan dalam mempertingkat keberkesanan usaha memerangi rasuah.

"Ia merupakan satu langkah konstruktif yang akan memantapkan lagi amalan integriti di sektor awam.

"Sebagaimana telah disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet 2014 pada Jumaat, SPRM yakin unit itu akan bertindak sebagai 'focal point' bagi pengurusan isu-isu berkaitan integriti di semua agensi awam," katanya dalam kenyataan Ahad.

Beliau berkata bahagian itu juga akan bertanggungjawab menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan integriti agensi awam selain program latihan pegawai integriti bertauliah menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.

Abu Kassim berkata Unit Pengurusan Integriti akan melaksana enam fungsi teras iaitu memastikan tadbir urus terbaik, pengukuhan integriti (memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi), mengesan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah.

Selain itu, unit berkenaan akan mengesan pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil dan melaporkan salah laku jenayah kepada agensi berkaitan.

Unit itu juga akan berfungsi dalam pengurusan aduan iaitu menerima dan mengambil tindakan tegas ke atas semua aduan/maklumat berhubung salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan serta etika organisasi, memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa selain melaksana fungsi urus setia Lembaga Tatatertib.

Dalam perkembangan lain, Abu Kassim berkata selaras dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam baru-baru ini, SPRM mengambil langkah menempatkan pegawainya di agensi awam.

Beliau berkata di sebalik syor dan pandangan susulan Laporan Ketua Audit Negara 2012, SPRM berpendapat sistem tadbir urus sektor awam yang terbaik dan budaya kerja berkualiti merupakan landasan penting dalam mempertingkat keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan melaksana dasar yang dimandatkan.


BERNAMA ONLINE

No comments: