Wednesday, October 30, 2013

Cuepacs Sifatkan Bajet 2014 Ambil Kira Kebajikan Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan Bajet 2014 mengambil kira kebajikan penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata beliau berpuas hati secara keseluruhan inti pati bajet kali ini yang memberi banyak manfaat kepada penjawat awam bagi meningkatkan produktiviti dan integriti golongan itu, walaupun ada beberapa permintaan Cuepacs yang tidak ditunaikan.

"Bonus setengah bulan gaji masih dikira baik. Kita faham keadaan ekonomi sekarang dan kerajaan tidak boleh beri lebih daripada itu, apa-apa pun kita berasa syukur dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Omar mengulas pengumuman Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari Jumaat.

Beliau berkata sebelum ini Cuepacs pernah memohon kerajaan supaya memberikan bonus sekurang-kurangnya satu setengah bulan gaji atau dua bulan gaji termasuk menaikkan elaun perumahan penjawat awam.

Omar berkata antara inti pati yang dapat memberi manfaat kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

"Selain itu pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan menerima RM650.

"Melihat dari segi kesihatan pula pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir dapat membuat rawatan sendiri secara percuma di rumah dengan kit CAPD (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis)," katanya.

Omar juga berkata cadangan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati dengan potongan cukai bulanan (PCB) mereka, adalah perkara yang menarik perhatian ramai kerana ia akan memudahkan penjawat awam.

Beliau juga menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.

Omar berkata dengan adanya jawatankuasa itu ia dapat meningkatkan integriti penjawat awam kerana sebelum ini ada pihak yang mempertikaikannya.

Dalam pembentangan bajet hari ini, Najib berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah susulan daripada Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini, demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan menjaga imej dan kredibiliti sektor awam.

Sementara itu, bagi jururawat sebuah hospital kerajaan Siti Shuhada Md Tajuddin, 33, berkata pengumuman bonus setengah bulan itu sudah memadai kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam.

"Apa jua keputusan yang dibentangkan dalam bajet ini saya terima sebab saya tahu kerajaan melakukan yang terbaik untuk penjawat awam," katanya.

Muhamad Abdul Kadir, 32, seorang tentera, berkata beliau berpuas hati dengan kandungan Bajet 2014.

Katanya cadangan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan merupakan satu transformasi oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam.

BERNAMA ONLINE

No comments: