Wednesday, October 9, 2013

Perkhidmatan awam perlu perubahan

MELAKA 8 Okt. - Perkhidmatan awam di negeri ini memerlukan perubahan untuk terus kekal relevan dan selari dengan realiti dan kehendak semasa.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, perubahan yang dilakukan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh membawa kepada sektor itu dipinggirkan.

"Dalam hal ini, apa yang utama adalah kepantasan, perkhidmatan awam tidak boleh lagi hanya menunggu peluang datang menjengah.

"Perkhidmatan awam mesti sentiasa proaktif seperti kata peribahasa 'belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang'.

"Oleh itu perubahan yang cepat dan mengambil pendekatan berinovasi dan kreatif perlu bagi memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat," katanya.

Beliau berucap dan merasmikan Persidangan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Ke-16 di Banda Hilir, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang.

Dalam majlis yang disertai sebanyak 150 peserta itu, buku Produk 1Malaysia Transformasi SPA turut dilancarkan.

Seminar empat hari bermula semalam itu membentangkan sebanyak tujuh kertas kerja yang fokus kepada aspek transformasi dan integriti SPA.

Menurut Idris, seminar tersebut menjadi pemangkin kepada SPA dalam mencari kaedah serta mengenal pasti kehendak dan keperluan baharu pelanggan.

Katanya, sikap SPA yang mengamalkan keterbukaan dalam menerima sebarang bentuk rungutan dan rasa tidak senang hati masyarakat menjadi faktor persidangan itu diadakan.

"Mereka datang untuk berbincang bagaimana SPA boleh menyusun atur struktur, sistem, atur strategi serta mempunyai gaya tertentu atau menambah bentuk kemahiran bagi mengekalkan nilai-nilai yang telah dikongsi bersama dengan seluruh anggota perkhidmatan awam di negara ini," katanya.

Idris berkata, slogan yang diamalkan SPA iaitu Cepat, Tepat dan Berintegriti merangkumi kesemua ciri-ciri perkhidmatan dan produk yang disediakan oleh agensi-agensi awam di negara ini.

Katanya, SPA perlu sentiasa mengangkat kehendak dan keperluan masyarakat sebagai sesuatu yang perlu disediakan iaitu melangkaui kehendak dan keperluan mereka.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: