Tuesday, October 22, 2013

Penjawat awam digalak tunai zakat harta melalui potongan gaji

MELAKA 21 Okt. - Pusat Zakat Melaka (PZM) mahu menggalakkan orang ramai terutama golongan penjawat awam untuk melaksanakan pembayaran zakat harta dengan kemudahan skim potongan gaji yang disediakan.
Timbalan Pengerusi PZM, Datuk Yaakub Md. Amin berkata, perkara itu penting dalam usaha meningkatkan kesedaran terutama kepada yang baru mula bekerja untuk membersihkan pendapatan mereka.

Menurutnya, walaupun jumlah penjawat awam di negeri ini ramai, namun mereka yang melaksanakan bayaran zakat harta terutama melalui potongan gaji dilihat masih kurang.

"Jika kesedaran dapat ditingkatkan, penjawat awam terutama golongan guru di negeri ini mampu memberi sumbangan besar dalam meningkatkan jumlah pungutan zakat pendapatan negeri.

"Ini seterusnya akan membantu PZM untuk melaksanakan lebih banyak program bagi manfaat golongan asnaf di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan di Ibu Pejabat PZM, Bukit Palah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Mufti negeri, Datuk Rashid Redza Md. Salleh; Pengurus Besar PZM, Ismail Hasim dan Ketua Cawangan Amanah Raya Berhad Melaka, Zianah Md. Esa.

Jelas Yaakub, minat untuk membayar zakat dalam kalangan golongan muda dilihat sudah bermula walaupun mereka hanya bekerja biasa di kilang dengan pendapatan tidak seberapa.

"PZM turut memberi kelonggaran kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk membayar sekurang-kurangnya RM20 sebulan demi untuk menunaikan tanggungjawab membersihkan pendapatan mereka.
"Apa yang penting adalah kesedaran mereka ini untuk membayar zakat harta dan PZM amat mengalu-alukan perkara seperti itu," tambahnya.

Sementara itu, katanya, program bertemu pelanggan yang diadakan PZM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Amanah Raya Berhad itu penting dalam memberi peluang kepada orang ramai mendapat maklumat serta perkara baharu berkaitan zakat.

Sehingga Oktober tahun ini, PZM berjaya mengutip zakat harta dan zakat fitrah sebanyak RM37.7 juta berbanding RM31.3 juta tahun lalu.

"Bilangan pembayar juga telah meningkat sebanyak 10.36 peratus dari 28,176 orang tahun ini berbanding 25,531 orang pada tahun sebelumnya," katanya.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: