Friday, October 18, 2013

KERJASAMA SEKTOR AWAM MALAYSIA, SINGAPURA BERADA PADA KEDUDUKAN TERBAIK - KSN

SINGAPURA, 18 Okt (Bernama) -- Kerjasama sektor awam Malaysia dan Singapura kini berada pada kedudukan terbaik dan inilah masa paling baik untuk mempertingkatkan lagi hubungan itu ke tahap lebih tinggi, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. "Ia dapatlah kita bayangkan seperti hubungan antara pemimpin negara kita... antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini Jumaat.

Beliau berkata keakraban kedua-dua pemimpin itu dapat menyelesaikan beberapa isu termasuk di bawah Perkara Persetujuan (POA) yang menjadi penghalang kepada perhubungan yang akrab. Ali, yang melakukan lawatan rasmi singkat ke Singapura mulai semalam, berkata secara keseluruhan lawatannya itu membuahkan hasil positif. Beliau turut mengadakan perbincangan dengan Tan Sri Peter Ong, ketua perkhidmatan awam Singapura, yang menganjurkan majlis makan malam rasmi bagi meraikan beliau dan rombongan semalam. Antara persetujuan yang dicapai pada perbincangan itu adalah mengadakan program sukan dan seminar tahunan antara Malaysia dan Singapura di peringkat perkhidmatan awam pada November ini, kata Ali. "Ong dan rombongan beliau yang diwakili beberapa setiausaha tetap kementerian di Singapura akan datang ke Putrajaya," katanya. 

Hari ini, Ali dan rombongan melawat Centre for Strategic Futures dan diberi taklimat oleh Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Perkhidmatan Awam Singapura Kwek Mean Luck. "Di situ kita telah dapat bertukar-tukar pendapat mengenai struktur perkhidmatan awam kedua-dua negara dan berbincang mengenai Civil Service College Singapura," katanya. Ali berkata terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari antara satu sama lain. "Saya telah menyatakan pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Intan (Institut Tadbiran Awam Negara) akan membuat lawatan dan perbincangan susulan dengan Civil Service College Singapura pada masa terdekat," kata beliau.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: