Thursday, October 3, 2013

Kos sara hidup akan dikaji


DR. Ali HamsaJAKARTA 2 Okt. - Keluhan dan rungutan penjawat awam yang bertugas di luar negara mengenai kos sara hidup di negara yang ditempatkan mendapat perhatian Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang berjanji untuk mengkaji secara serius masalah tersebut.

Menurut Ali, kerajaan amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh sejumlah penjawat awam yang terpaksa berhadapan dengan kesulitan hidup di negara orang khususnya di negara yang indeks harganya tinggi yang boleh menyebabkan inflasi.

"Kerajaan akan kaji secara serius (elaun perbezaan sara hidup). Kita perlu melihat keadaan negara penjawat awam ditempatkan. Ada bandaraya indeks harga tinggi, ada yang rendah. Kita akan kaji bentuk formula yang akan dipakai untuk tentukan elaun itu.

"Salah satu cara yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah memperkenalkan formula fleksibel iaitu penetapan kadar elaun berdasarkan kenaikan atau penurunan indeks harga dan kadar inflasi di negara mana mereka ditempatkan," kata Ali kepada wartawan di sini hari ini.

Beliau yang dalam lawatan kerja selama dua hari di sini sebelum itu menyampaikan amanat kepada ketua-ketua jabatan dan kakitangan di Kedutaan Besar Malaysia.

Masalah peningkatan kos hidup yang dihadapi penjawat awam di Jakarta khususnya ditimbulkan oleh beberapa pegawai Kedutaan Besar Malaysia di sini menarik perhatian Ali untuk membantu menyelesaikan isu itu.

"Isu inflasi di negara penjawat awam ditempatkan akan dikaji dan dibincangkan di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan untuk cari jalan terbaik atasi kenaikan kos penjawat awam di luar. Ini komitmen kita (kerajaan)," jelasnya.

Pada sesi soal jawab bersama penjawat awam di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini juga, beliau turut meminta Wisma Putra supaya memberi pertimbangan kepada sesi soal persekolahan anak-anak penjawat awam di luar negara sebelum membuat keputusan menukarkan mereka sama ada kembali ke Malaysia atau ke negara lain.

Menurut Ali, sesi persekolahan anak-anak sangat penting kerana terdapat beberapa kes anak-anak penjawat awam di luar negara tidak sempat menduduki peperiksaan penting disebabkan mereka ditukarkan ke tempat lain awal beberapa bulan sebelum itu.

"Ambil kira sesi persekolahan anak sebelum penjawat awam ditukarkan kerana masalah ini bukan hanya menyusahkan mereka (penjawat awam) tetapi juga untuk anak-anak. Biar anak-anak habiskan sekolah," katanya.

Pada perjumpaan itu juga, Ali turut memberitahu kerajaan akan memberi keutamaan kepada mana-mana penjawat awam yang berkhidmat di luar negara untuk mendapatkan kuarters sebaik mereka diarahkan kembali berkhidmat ke Malaysia jika mereka belum mengambil pinjaman perumahan kerajaan.

Dalam lawatan pertama ke Jakarta sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak dilantik lebih setahun lalu, Ali turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kabinet Kerajaan Indonesia, Dr. Dipo Alam bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan penjawat awam.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: