Wednesday, October 23, 2013

Penjawat disabit kesalahan boleh dibuang kerja

Penjawat disabit kesalahan boleh dibuang kerja
Abdul Wahid dan Penasihat kepada Perdana Menteri India, Dr Bibek Debroy ketika sesi perbincangan pada WCMS, semalam.


Ketirisan sektor awam

Kuala Lumpur: Buang kerja antara tindakan tegas yang akan diambil terhadap kakitangan kerajaan yang disabitkan dengan isu kelemahan dan ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kerajaan memandang serius isu itu kerana ia membabitkan kerugian di pihak kerajaan khususnya dari segi kewangan. 

Tidak kira sektor awam atau swasta, jika berlaku kesalahan ada tiga jenis tindakan boleh dikenakan mengikut tahap kesalahan” Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Teliti isu ketirisan

Katanya, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, akan meneliti setiap isu yang timbul dalam laporan berkenaan sebelum mengumumkan tindakan yang akan dikenakan termasuk ditamatkan perkhidmatan.

“Biasanya dalam laporan audit, tidak kira sektor awam dan swasta, jika berlaku kesalahan ada tiga jenis tindakan yang boleh dikenakan mengikut tahap kesalahan.

“Namun, semua tindakan tatatertib yang akan diambil bergantung kepada keputusan jawatankuasa khas berkenaan yang akan membuat cadangan tindakan yang akan diambil. 
Keseriusan kesalahan

“Namun, secara umumnya, (tindakan) adalah sama seperti sektor swasta mengenakan tindakan tatatertib, bergantung kepada keseriusan sesuatu kesalahan,” katanya ketika ditemui di luar Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS) 2013, di Kuala Lumpur semalam.

Abdul Wahid berkata, kerajaan mengenal pasti tiga isu yang ditekankan dalam laporan itu dengan kesalahan membabitkan kelemahan pengurusan atau prosedur akan segera ditangani dengan menambah baik proses dan melatih pegawai terbabit.

Isu disiplin

Katanya, bagi kesalahan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan tapi tidak membabitkan kewangan atau kerugian teruk, ia akan dikategorikan sebagai isu disiplin yang mana satu siasatan akan dilakukan dan tindakan tatatertib akan dikenakan jika didapati bersalah.

“Namun bagi kesalahan lebih serius iaitu jika terdapat salah guna kuasa atau salah tadbir urus yang besar sehingga menyebabkan kerugian besar di pihak kerajaan ini memerlukan tindakan lebih keras.

“Ia akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan adalah bergantung kepada siasatan SPRM. 

“Ini adalah perbandingan umum yang boleh dilakukan sama seperti sektor swasta,” katanya.


BERITA HARIAN ONLINE

No comments: