Friday, May 15, 2009

176,000 naik pangkat

PUTRAJAYA 14 Mei – Berkuat kuasa 1 Julai ini, pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi.

Berucap pada perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan beberapa skim perkhidmatan akan dinaik taraf juga mulai 1 Julai.

Kata beliau, langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan persekutuan.

Kerajaan juga, katanya, bersetuju menggubal dua skim perkhidmatan yang baru iaitu pegawai penyediaan makanan dan pembantu laut serta menaik taraf lapan skim perkhidmatan termasuk skim perkhidmatan operator mesin prosesan data, pembantu tadbir rendah (PTR) dan jaga.

‘‘Langkah itu akan melibatkan 20,637 penjawat awam. Keputusan kerajaan ini akan melibatkan kos tambahan sebanyak RM170.4 juta,” katanya.

Najib berkata, beliau yakin usaha yang diiringi keikhlasan demi menunaikan amanah kepada rakyat membolehkan perkhidmatan awam memberi perkhidmatan terbaik untuk negara.

‘‘Perkhidmatan awam mempunyai fungsi yang cukup signifikan dalam mencorakkan pembangunan negara dan usaha ini akan membawa negara megah di persada dunia,” katanya

Utusan Online

No comments: