Friday, May 1, 2009

Aduan rakyat dalam media nilai KPI

PUTRAJAYA 30 April - Maklum balas daripada orang ramai berkaitan perkhidmatan sektor awam yang disiarkan dalam media massa adalah antara kaedah digunakan untuk menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seseorang menteri dan timbalannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, langkah tersebut merupakan salah satu aspek penting yang diberi keutamaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sesebuah kementerian berupaya memenuhi kehendak serta keperluan rakyat.

''Pandangan, aspirasi dan perasaan rakyat merupakan salah satu aspek penting yang akan diberi keutamaan dalam usaha gigih kami ini, selaras dengan cogan kata 'rakyat didahulukan'.

''Kita akan baca dan lihat daripada media cetak serta elektronik untuk menjadikannya sebagai input bagi menilai prestasi sesebuah kementerian termasuk menterinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pertama mengenai KPI sejak dilantik dalam Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 9 April lalu.

Beliau yang menggalas portfolio Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab menilai setiap menteri Kabinet menerusi KPI.

Utusan Online

No comments: