Thursday, May 28, 2009

Penjawat awam perlu banyak membaca

LIMBANG 27 Mei - Penjawat awam perlu banyak membaca buku-buku ilmiah bagi menambah ilmu dan menguasai bahasa antarabangsa untuk memudahkan tugas harian mereka.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, melalui pembacaan pelbagai jenis buku itu, ia membolehkan mereka menjadi lebih cekap dan mempertingkatkan kredibiliti jabatan atau kementerian.

''Apabila jentera pentadbiran awam menjadi efisien, ia boleh berfungsi dalam apa keadaan sekalipun," katanya berucap di majlis pelancaran logo An Honour To Serve dan One Government At Your Service di sini semalam.

Beliau berkata, efisien amat penting supaya pentadbiran awam mampu memainkan peranan dalam menterjemahkan manifesto kerajaan menjadi realiti.

Selain itu tambahnya, mentadbir jabatan atau bahagian banyak bergantung pada pengurusan dan bukannya terhadap sistem yang diguna pakai semata-mata.

Malah beliau dalam hal ini menasihatkan kakitangan awam sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan iaitu rakyat.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wilson Baya Dandot dalam ucapannya berkata, kakitangan awam harus menerapkan amalan positif dan menjadikannya sebagai nilai dan etika budaya kerja mereka.

Beliau berkata, masyarakat kini telah meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada penjawat awam di negara ini.

''Sebagai penjawat awam, kita harus menerima penghormatan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan keikhlasan,'' kata beliau.

Wilson berkata, penghormatan yang diberikan itu harus dianggap sebagai cabaran kepada kakitangan awam dalam menjadikan perkhidmatan awam di negara ini bertaraf dunia.

Utusan Online

No comments: