Tuesday, May 12, 2009

SPRM siasat pegawai JUSA Kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR 11 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang lelaki yang tidak mempunyai pengalaman berkhidmat dalam sektor awam, tetapi memegang jawatan penting di Selangor bertaraf Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A.

Lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu mula disiasat sejak dua minggu lalu tetapi tidak ditahan oleh pihak SPRM.

Siasatan menjurus kepada bagaimana lelaki terbabit yang memiliki sebuah syarikat dipilih memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan Selangor.

Menurut sumber, lelaki terbabit memegang jawatan tersebut selepas kerajaan negeri Selangor diambil alih oleh pakatan pembangkang yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu.

Tambah sumber itu lagi, SPRM bagaimanapun masih menjalankan siasatan sama ada kes ini membabitkan jumlah sogokan yang diberi atau diterima pihak tertentu.

"Untuk memegang jawatan gred JUSA A, setiap calon mesti mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam, tapi beliau dilihat tidak mempunyai kelayakan itu.

"Oleh itu, kes tersebut mempunyai asas yang kukuh untuk disiasat oleh pihak SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Moh Samsudin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan tetapi enggan mengulas lanjut.

Utusan Online

No comments: