Tuesday, May 5, 2009

'Kami pun nak naik pangkat'

SAYA amat tertarik dan menyokong pendapat yang diberikan oleh Calon Sarjana Tua melalui ruangan ini pada 30 April lalu.

Sememangnya staf veteran yang mempunyai sarjana muda, sarjana dan PhD dalam Kumpulan Sokongan Gred N sering terpinggir dan diketepikan dalam arus kenaikan pangkat mengikut pencapaian akademik yang diperolehi semasa dalam perkhidmatan.

Berbanding dengan guru, mereka telah dijanjikan pangkat yang lebih tinggi bersesuaian dengan kelulusan mereka walaupun mereka masih belum tamat pengajian.

Alasan menaikkan pangkat guru berdasarkan guru ini bertungkus lumus dan berusaha melanjutkan pengajian dan banyak mengorbankan masa, tenaga, wang dan keluarga untuk mendapatkan segulung ijazah dan perlu diberi keutamaan bagi kenaikan pangkat.

Persoalannya adakah golongan penjawat awam veteran seperti kami ini tidak berkorban masa, tenaga, wang dan keluarga untuk melanjutkan pengajian sehinggakan kami dipinggirkan dan dinafikan untuk dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi?

Kami berusaha dengan gigih untuk mendapatkan ijazah dengan harapan untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi tetapi akhirnya, hampa.

Saya bertugas selama hampir 27 tahun di dalam perkhidmatan awam dan mendapat segulung ijazah pada tahun 2004 walaupun menghadapi masalah kesihatan. Saya mencuba dan berusaha dengan menghadiri pelbagai temu duga dan peperiksaan untuk memohon jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional, malangnya semuanya hampa.

Saya terpaksa 'bertarung' dengan generasi muda yang mempunyai kelebihan dari segi usia yang lebih muda walaupun dibandingkan dari segi pengalaman dengan mereka ibarat 'langit dengan bumi'.

Pihak berwajib perlulah mengambil berat tentang perkara ini supaya staf veteran seperti kami tidak rasa dipinggirkan.

Janganlah diamalkan layanan 'pilih kasih' yang mana staf kerajaan seperti guru, polis, askar, doktor dan jururawat diberi keistimewaan untuk kenaikan pangkat sedangkan golongan staf Kumpulan Sokongan gred N seperti kami diketepikan.

AZAHARI MOHD. SALLEH
Selangor

Utusan Online

No comments: