Thursday, May 14, 2009

MB tiada kuasa gantung lantikan suruhanjaya: KSN

PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Shahid, bercanggah dengan Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata mengikut undang-undang itu Menteri Besar tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menggantung kerja Abdul Rahman dan Ahmad Kamal.

Sehubungan itu, beliau meminta Abdul Rahman dan Ahmad Kamal menjalankan tugas masing-masing seperti biasa sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.

"Mengikut Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan termasuk kuasa untuk menggantung kerja dan memecat.

"Bagi Penasihat Undang-Undang kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan manakala bagi Setiausaha Kerajaan Negeri, kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Sidek berkata, tindakan menggantung dan memecat penjawat awam tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

"Penggantungan kerja seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada peruntukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993.

"Sementara mengikut peraturan 45(1) TU(A395)/1993, seseorangg penjawat awam boleh digantung kerja jika pegawai itu sudah disabitkan oleh mana-mana mahkamah jenayah atau suatu perintah seperti mana yang dinyatakan dalam Peraturan 32 perintah tahanan, buang negeri, pengawasan, kediaman terhad dan sebagainya sudah dibuat terhadap pegawai itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penggantungan kerja terhadap Abdul Rahman dan Ahmad Kamal tidak membabitkan mana-mana alasan yang sudah dinyatakan, menyebabkan ia tidak sah mengikut peruntukan undang-undang.

No comments: