Tuesday, May 5, 2009

Abdul Karim didakwa kali ketiga tuduhan rasuah

KLANG 4 Mei - Setelah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Abdul Karim Abu Hassan dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan sama.

Dengan pendakwaan tersebut, bermakna Abdul Karim yang berpangkat Supritendan kini berhadapan dengan lima pertuduhan rasuah di tiga buah mahkamah sekitar Lembah Klang.

Dalam prosiding yang bermula pada pukul 3.30 petang ini, Abdul Karim, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Anita Harun.

Abdul Karim didakwa meminta rasuah RM65,000 daripada seorang suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket potong kereta.

Dia didakwa meminta rasuah RM65,000 daripada Lim Ching Jing, 38, sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki itu.

Abdul Karim didakwa meminta suapan tersebut menerusi panggilan telefon kepada Ching Jing pada Mei 2007 di sebuah rumah nombor 36, Jalan Kenanga, Rumah Murah 3, Pekan Meru di sini.

Tertuduh yang diwakili peguam Shanta Kumari dan Jaspal Singh Mann didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana satu yang lebih tinggi.

Sepanjang tahun ini, Abdul Karim telah tiga kali didakwa atas tuduhan rasuah. Pada 7 Januari lalu, dia didakwa meminta suapan RM10,000 daripada orang yang sama.

Pada 21 April lalu dia dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM75,000.

Dalam pada itu, lelaki yang dikatakan menjadi orang perantara dalam kes itu, Soo Chong Man turut didakwa atas tuduhan yang sama di hadapan Anita.

Chong Man, 40, pembantu di sebuah kedai peralatan elektrik didakwa meminta RM65,000 daripada Ching Jing sebagai dorongan untuk Abdul Karim supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap suspek terbabit.

Tertuduh yang diwakili peguam Sritharan C. Nadarajan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Anita menetapkan 6 Mei ini sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Eylia Yunos agar kes terhadap Abdul Karim dan Chong Man dipindahkan ke mahkamah berkenaan untuk dibicarakan bersama.

''Ini kerana kes melibatkan saksi-saksi yang sama dan pertuduhan tersebut bertitik tolak daripada transaksi yang sama,'' kata Nurul Eylia.

Sehubungan itu, Anita tidak membuat sebarang perintah berhubung ikat jamin meskipun Nurul Eylia mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Anita memutuskan demikian setelah mengambil kira bahawa kedua-duanya telah membayar jaminan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Utusan Online

No comments: