Saturday, May 16, 2009

Kenaikan pangkat bukti kerajaan prihatin

PUTRAJAYA 15 Mei - Keputusan untuk memberi peluang kenaikan pangkat kepada 176,000 kakitangan awam seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap keperluan rakyat.

Beberapa kakitangan sektor awam yang ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini, begitu menghargai keprihatinan kerajaan itu.

Seorang pembantu tadbir di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rahanah Tarmizi, 22, berkata, keputusan kerajaan itu menunjukkan sumbangan kakitangan awam selama ini diiktiraf.

''Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang kenaikan pangkat dan gaji kepada kakitangan awam.

''Skim perkhidmatan sektor awam sentiasa mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa, ia merupakan satu petanda positif untuk negara ini," katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan, berkuat kuasa 1 Julai ini, pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,000 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan Persekutuan.

Penolong Pegawai Tanah dari Jabatan Tanah dan Galian, Salwan Shah Abd. Wahab, 27, pula yakin kerajaan akan menyediakan peluang kenaikan pangkat yang sama rata untuk semua kakitangan awam.

''Keputusan untuk memberi peluang kenaikan pangkat kepada 176,000 orang menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kumpulan dalam sektor awam.

''Saya juga yakin kerajaan akan menyediakan lebih banyak lagi peluang seumpama ini kepada kakitangan awam," katanya.

Pembantu am di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Mohd. Shahrin Roslan, 28, berkata, keputusan kerajaan itu akan meringankan lagi beban pegawai sektor awam kumpulan sokongan.

''Ini merupakan satu pengumuman yang menggembirakan buat kakitangan sektor awam dan membantu kita dalam menghadapi krisis ekonomi global yang amat mencabar," katanya.

Pegawai penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Rafiza Abdul Rahman, 24, berharap kerajaan sentiasa mengkaji skim perkhidmatan yang ditawarkan kepada penjawat awam.

''Penambahbaikan skim perkhidmatan perlu untuk memastikan sektor awam di negara ini terus berdaya saing.

''Ia juga dapat menarik lebih ramai orang untuk menyertai perkhidmatan awam," katanya.

Utusan Online

No comments: