PUTRAJAYA 4 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam mewujudkan satu bentuk perhubungan berasaskan ikatan janji kesetiaan dan komitmen padu bagi mengukuhkan pencapaian sektor berkenaan.
Perdana Menteri berkata, perhubungan berasaskan konsep al-wa‘ad dan al-bai‘ah itu adalah lebih kukuh berbanding konsep perkongsian kerana ia mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih baik dan tenteram.
Beliau menjelaskan, konsep tersebut bukan bermaksud satu sistem pengarahan kerja bersifat satu hala iaitu ‘suruh itu dan ini’ daripada pihak atasan, sebaliknya anggota pentadbiran turut berperanan menjaga kebajikan para penjawat awam.
‘‘Di atas bahu para anggota pentadbiran untuk menjaga penjawat awam agar mendapat kepuasan kerja, skim perkhidmatan yang boleh kita perbaiki dan menentukan latihan pembangunan kerjaya dilakukan dengan tersusun dan menjaga perasaan serta hati mereka dengan mengeluarkan arahan kerja secara bersopan dan berhemah.
‘‘Apabila kita dapat mengasaskan hubungan iaitu penjawat awam membuat kerja dengan komitmen dengan kesetiaan tidak berbelah bagi dan pentadbiran kerajaan menjaga kepentingan kebajikan penjawat awam, saya percaya akan wujud satu hubungan yang sangat baik dan tenteram dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Di JPM, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Jamil Khir Baharom serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Dalam ucapan pertamanya pada majlis perhimpunan bulanan JPM sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu, Najib turut mengelak daripada menggunakan istilah ‘kakitangan kerajaan’ sebaliknya lebih selesa memakai perkataan penjawat awam.
Perdana Menteri berkata, tujuan mewujudkan perhubungan yang lebih kukuh dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam adalah bagi memastikan rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan awam berasaskan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.
‘‘Rakyat yang berpuas hati dengan kerajaan itulah rakyat yang akan bersama-sama dengan kerajaan, insya-Allah,” katanya.
Katanya lagi, anggota pentadbiran dan penjawat awam harus sedar bahawa penanda aras muktamad ialah sejauh mana rakyat melahirkan rasa puas hati mereka terhadap kerajaan.
‘‘Kadang kala dalam rutin kerja, kita lupa sebenarnya analisis akhir ditentukan oleh rakyat. Di sebalik KPI, saya sebenarnya mengajak anda semua untuk sentiasa ingat bahawa penanda aras muktamad ialah memberikan kepuasan hati rakyat sama ada dari segi perkhidmatan, usaha menambah kekayaan dan selesaikan masalah.
‘‘Mudah-mudahan dengan usaha ini, kita akan beri tumpuan kepada cara-cara bagaimana kita boleh menambahkan lagi indikator kepuasan hati rakyat,” katanya.
Perdana Menteri juga menekankan tentang pendekatan menggabungkan nilai produktiviti, inovatif dan kreativiti bagi memastikan sektor awam mampu mencapai lonjakan berganda dalam pelbagai bidang.
‘‘Kita tidak mungkin dapat menonjolkan Malaysia sebagai negara yang berjaya kalau kita tidak dapat membudayakan pemikiran inovatif dan kreatif.
‘‘Pendekatan ini mesti bermula dari sistem persekolahan kita, saya tahu Muhyiddin sedang mengkaji perkara ini,” katanya.
Katanya, inovatif dan kreativiti bukan sahaja perlu ada dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagaimana yang dilakukan sektor swasta malah ia turut membabitkan sektor awam iaitu membentuk proses kerja dan penyelesaian masalah yang lebih inovatif.
‘‘Bila adunkan produktiviti dan kreativiti, kita akan dapat lonjakan berganda dari segi prestasi dan pencapaian untuk negara,” kata beliau.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment