SHAH ALAM 22 Mei - Dalam tempoh 47 hari sebelum menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), seorang anggota polis hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM35,000, empat tahun lalu.
Lans Koperal Shahruddin Baharim, 42, didakwa memperoleh suapan RM10,000 daripada seorang peniaga, Mohd. Abdul Kahar Md. Rani, 45, sebagai dorongan supaya membebaskan adik iparnya yang ditahan kerana dikatakan terlibat dalam kes samun bersenjata.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4.30 petang, 19 Februari 2005 di stesen minyak Projet Batu 3 di sini ketika bertugas di Cawangan Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Pada pukul 2 petang, dua hari kemudiannya, di tempat yang sama, tertuduh didakwa memperoleh suapan RM25,000 daripada Mohd. Abdul Kahar sebagai dorongan atas tujuan yang sama.
Shahruddin yang memakai baju T lengan panjang berwarna merah didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana satu yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee mencadangkan supaya tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan memandangkan dia kini hanya menerima separuh gaji setelah digantung kerja.
''Saya akan dimasukkan ke wad IJN pada 4 Julai dan akan dibedah pada 7 Julai. Saya asyik berulang alik ke hospital dan ia melibatkan kos yang tinggi. Isteri pula tidak bekerja dan saya menanggung dua anak yang masih bersekolah,'' kata Shahruddin.
Setelah meneliti surat-surat yang dikemukakan, Hakim M. Gunalan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Gunalan menambah, seandainya tertuduh ingkar dan tidak hadir ke mahkamah, jumlah jaminan akan dinaikkan.
Kes akan disebut semula pada 22 Jun untuk tertuduh melantik peguam.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment