Thursday, May 21, 2009

Peperiksaan PTK lulus, pangkat tetap tak naik

PEPERIKSAAN Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) telah diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan kenaikan gaji secara menegak dan melintang di bawah Sistem Saraan Baru (SSB). PTK lebih menjurus kepada pengetahuan, kebolehan dan kemahiran serta merit berbanding sistem lama (statik, mendatar, menegak dan melintang) yang lebih kepada penilaian Ketua Jabatan semata-mata.

Terdapat TK1 dan TK2 untuk PTK gred lantikan yang mana TK1 untuk pergerakan gaji P1 kepada P2 dan TK2 untuk pergerakan gaji P2 kepada P3 (gred lantikan ada 3 baris jadual gaji P1, P2, P3).

Sejak PTK diperkenalkan, ada kakitangan awam yang telah lulus TK1 dan TK2 aras IV dan telah dua kali mendapat anjakan gaji iaitu daripada P1 ke P2 (TK2) dan P3 (TK2).

Bermakna gaji mereka ini berada di P3. Namun demikian apabila diadakan temu duga kenaikan pangkat kakitangan yang cuma lulus PTK TK1 aras III dan gaji di P1 berjaya dinaikkan pangkat, manakala kakitangan yang telah lulus PTK TK1 dan TK2 aras IV dan dua kali menerima anjakan gaji gagal dalam urusan kenaikan pangkat.

Ini berlaku mungkin kerana kakitangan yang walaupun cemerlang dalam tugas tetapi agak gugup apabila menghadap lembaga temu duga.

Sepatutnya kakitangan yang telah berjaya mempamerkan kebolehan, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas masing-masing iaitu yang telah lulus aras IV PTK TK1 dan TK2 perlu dinaikkan pangkat, kalau pun tidak secara automatik berilah secara keutamaan.

Saya fikir 'permata-permata' ini iaitu kakitangan awam yang cemerlang dan berpotensi patut diberi peluang dan tidak harus dibiarkan begitu sahaja demi kebaikan perkhidmatan awam keseluruhannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abd. Razak menitik beratkan gagasan 'pencapaian diutamakan'.

Penilaian berdasarkan penunjuk prestasi utama (KPI) bukan hanya kepada pegawai tinggi sektor awam bahkan tidak terkecuali para menteri Kabinet.

Atas semangat yang sama para penjawat awam juga perlu dinilai berdasarkan pencapaian, merit dan kebolehan.

Adalah diharapkan pihak kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam dapat meneliti perkara ini.

BASHARUDDIN HASHIM
Pendang, Kedah

Utusan Online

No comments: