Wednesday, May 13, 2009

Kenaikan pangkat berdasar merit

JABATAN Perkhidmatan Awam merujuk kepada surat Azahari Mohd. Salleh dari Selangor melalui akhbar Utusan Malaysia bertajuk Kami Pun Nak Naik Pangkat pada 5 Mei 2009.

Kerajaan sentiasa menghargai dan menggalakkan penjawat awam berusaha meningkatkan tahap pencapaian akademik atau melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara berterusan (life long learning).

Usaha tersebut boleh meningkatkan lagi keyakinan penjawat awam serta memperbaiki kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Kelayakan akademik yang lebih tinggi membolehkan penjawat awam memajukan diri dalam kerjaya melalui peluang kenaikan pangkat bagi skim perkhidmatan bersepadu atau dilantik ke jawatan lain yang lebih baik melalui kaedah kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL).

Pegawai yang sedang berkhidmat juga boleh diberi lantikan terus ke jawatan baru oleh pihak berkuasa melantik. Kerajaan juga sentiasa prihatin ke atas kebajikan semua penjawat awam dan dari semasa ke semasa mengkaji kaedah-kaedah terbaik untuk dilaksanakan.

Sementara itu, kerajaan tidak menetapkan kuota tertentu bagi penjawat awam mahu pun calon baru untuk membolehkan mereka dilantik ke jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam.

Pelantikan adalah dibuat berdasarkan merit individu yang mana peluang untuk dilantik adalah lebih baik bagi pegawai awam yang memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi dan pengalaman kerjaya yang luas. Kelebihan ini sewajarnya dizahirkan semasa berhadapan dengan panel temu duga.

NIK NORAINI NIK YA
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Utusan Online

No comments: