Thursday, May 28, 2009

Kementerian Luar terima kritikan dengan hati terbuka

DAMSYIK, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata beliau menerima kritikan terhadap kementerian dan para pegawainya dengan fikiran terbuka kerana kemungkinan ia boleh menjadi satu pengajaran.

Beliau berkata kementerian itu menerima kritikan, komen dan idea yang konstruktif kerana keseluruhan objektifnya adalah bagi meningkatkan imej dan perkhidmatannya.

"Masih ada ruang untuk menjadi bertambah baik. Saya tidak berkata bahawa mereka tidak bagus. Apa yang saya katakan ialah kita mahu membawanya ke tingkat yang lebih baik (ke arah mencapai kecemerlangan).

"Jadi saya akan melihat kepada setiap satu kritikan, dan mungkin ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripadanya," katanya kepada Bernama di luar daripada sesi Majlis Menteri-menteri Luar (CFM) Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-36 yang dihoskan oleh Syria.

Anifah telah diminta mengulas berhubung surat yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian Malaysia berbahasa Inggeris baru-baru ini berhubung apa yang disifatkan sebagai "keadaan yang amat buruk" di kementerian.

Penulis itu mendakwa, antara lain, bahawa banyak pegawai kementerian luar dan duta-duta besar tidak mencapai mutu tertentu.

Anifah berkata: "Kami perlu menerima kritikan itu secara positif. Sekarang, ia mengenai negara kita, ia bukan mengenai kita sebagai individu."

Bernama

No comments: