MELAKA 1 Mei - Kementerian Sumber Manusia menjangkakan peraturan kerja sambilan atau Kerja Separa Masa untuk kakitangan awam dan swasta yang bekerja selepas waktu kerja biasa dapat dilaksanakan pada bulan depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir menggubal peraturan itu di bawah Akta Kerja 1955.
"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pekerja sektor awam untuk bekerja separa masa tetapi tidak ada peraturan khusus mengenainya hingga menimbulkan beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.
Beliau berkata, peraturan baru tersebut perlu dilaksanakan segera bagi menyelesaikan beberapa isu dan masalah yang dijangka timbul antara majikan dan pekerja berhubung dengan pekerjaan separuh masa.
''Peraturan itu akan mengandungi terma-terma dan syarat mengenai penggajian pekerja separuh masa serta perlindungan bagi pekerja dan majikan yang menghadapi sebarang isu yang timbul kelak.
''Kita harap Peguam Negara dapat meluluskan segera permohonan kementerian mengenai peraturan baru itu sebelum Jun ini," katanya.
Lebih 5,000 kakitangan awam dari seluruh negara menghadiri perhimpunan pekerja itu yang turut dihadiri Presiden CUEPACS, Omar Osman.
Menurut Subramaniam, peraturan baru itu digubal bertujuan menetapkan peraturan berkaitan penggajian pekerja separuh masa, menentukan faedah minimum kepada mereka, mengurangkan pergantungan majikan kepada pekerja asing dan menggalakkan penyertaan tenaga kerja terbiar.
Tambahnya, kebenaran untuk bekerja separuh masa itu juga bertujuan membantu pekerja yang berpendapatan rendah menambah pendapatan mereka.
Katanya, antara masalah yang dijangka timbul bagi kakitangan awam atau swasta yang bekerja separuh masa ialah mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kes kemalangan dan cuti sakit.
''Perlindungan ini penting bagi melindungi dan menepati keperluan serta hak antara pekerja dan majikan kerana kita tidak mahu kewujudan peraturan khas ini hanya melindungi kepentingan satu pihak," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Subramaniam meminta kakitangan awam dan swasta di negara ini bijak merebut peluang dengan mengikuti program latihan kemahiran yang disediakan oleh pelbagai pihak pada masa ini.
Melalui usaha itu katanya, golongan tersebut mampu meningkatkan tahap kemahiran masing-masing ke peringkat lebih baik sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar tenaga kerja berkemahiran.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment