Tuesday, May 5, 2009

Bomba: 2,843 perjawatan baru

ALOR SETAR 4 Mei - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan 2,843 perjawatan baru kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada tahun ini bagi memperkasakan jabatan berkenaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, kelulusan fasa kedua penstrukturan organisasi JBPM itu meliputi perjawatan di ibu pejabat bomba negeri dan penubuhan ibu pejabat zon serta di akademi latihan kebombaan di seluruh negara.

Katanya, ia melibatkan pelbagai pangkat supaya perkhidmatan JBPM kepada masyarakat akan terus diperkukuhkan.

"Saya amat menggalakkan agar lebih ramai rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menyertai JBPM supaya dapat sama-sama menyumbang khidmat bakti dalam kerjaya ini.

"Ini amat sejajar dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha bagi merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan 2009 di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Hamzah Abu Bakar.

Dalam pada itu, Lajim berkata, pasukan bomba dan masyarakat perlu bergerak seiring supaya JBPM menjalankan tugas dengan lebih berkesan terutama dalam situasi kecemasan.

Katanya, masyarakat pada masa ini masih kurang kesedaran terhadap bahaya kebakaran sehingga menjejaskan perancangan pihak keselamatan.

"Bahaya kebakaran sekiranya tidak ditangani dengan baik akan mengundang bencana dan kerugian besar kepada nyawa dan harta benda," katanya.

Menurut beliau, pada tahun lalu, JBPM terlibat dalam 21,712 operasi memadam kebakaran dan 27,442 kerja-kerja menyelamat dengan nilai kerugian akibat kebakaran menjangkau RM1.52 bilion.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, JBPM akan membuat tinjauan orang ramai bermula bulan ini sehingga Julai depan mengenai kesedaran terhadap aspek pencegahan kebakaran.

Menurut beliau, tinjauan sebelum ini mendapati tahap itu masih perlu diperbaiki contohnya penyelengaraan bangunan oleh pemiliknya.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan mengeluarkan lesen kepada pemilik jika premis berkenaan tidak mempunyai sijil kelulusan daripada JBPM.

"Pemilikan sijil tersebut bagi setiap premis penting kerana ia salah satu langkah mencegah kebakaran," katanya.

Utusan Online

No comments: