BUAT kali ketiga berturut-turut, nama saya tercicir daripada senarai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia ke Perancis, sedangkan pelajar-pelajar lain menghembuskan nafas lega.
Telah berkali-kali saya menghantar e-mel kepada JPA mengharap penyelesaian kepada masalah ini. Mungkin tidak perlu saya bertanya lagi, di mana silapnya, di mana kurangnya. Pihak JPA telah meminta saya membuka akaun baru pada bulan November 2008. Saya telah buat dan saya telah maklumkan kepada pihak JPA. Sekarang sudah bulan Mei. Enam bulan sudah berlalu.
Namun masalah yang sama masih menimpa. Atas nasihat pihak JPA sendiri, jangan tutup akaun lama, juga saya turuti. Sekarang saya membayar dua kali ganda caj bank. Tapi kenapa elaun saya masih mempunyai masalah? Apakah yang dibuat kepada maklumat elaun baru?
Untuk pengetahuan, di Perancis hampir kesemua bayaran, iaitu sewa rumah, bil Internet, bil elektrik, bil telefon dan macam-macam bil lagi dibuat secara automatik pada penghujung bulan.
Jika wang elaun masih belum dimasukkan sebelum hujung bulan ini, saya akan berdepan dengan akaun berbaki negatif. Jika lebih 300 Euro nilai negatif tersebut, akaun akan digantung. Saya akan disenarai hitamkan oleh Banque de France dan tidak akan mempunyai hak membuka akaun lain selagi fail belum ditutup.
Banyak caj perlu saya tanggung. Caj untuk membuka dan menutup fail kenegatifan akaun, caj membayar dua akaun di mana salah satunya diminta oleh pihak JPA tapi tidak pernah digunakan dan entah berapa banyak lagi caj yang saya bayar semata-mata untuk mengharapkan pihak JPA melakukan sesuatu untuk membantu diri ini yang keseorangan di perantauan. Saya tiada bantuan ayah ibu. Kepada siapa lagi harus saya merayu?
Namun saya masih cuba dan terus mencuba menghantar e-mel dan panggilan telefon kepada pihak JPA.
Mungkin sebagai seorang pelajar, kata-kata saya tidak langsung akan dipedulikan. Mungkin juga e-mel yang saya hantar akan terus 'diauto-nyahkan' ke dalam tong sampah. Tapi saya tidak akan berputus asa meminta dan terus meminta selagi tangan ini masih berupaya menulis. Suara ini belum hilang dari petinya, selagi saya bergelar pelajar berbiasiswa JPA.
MOHD. ZHAFRAN MAT JUSOH
Niort, Pranchis
Utusan Online
No comments:
Post a Comment