Thursday, April 30, 2009

Cadangan buka jawatan awam kepada swasta disokong

AYER KEROH 29 April - Cadangan supaya jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat dari sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah langkah yang tepat untuk pembaharuan dalam sektor kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, langkah itu mampu memastikan kerajaan tidak lagi mempunyai kakitangan awam yang hanya memanaskan kerusi semata- mata.

Menurut beliau, kerajaan memerlukan kakitangan awam yang mempunyai kreatif, inovasi dan dinamik di samping dapat turun padang untuk mengambil tindakan yang pantas supaya kebajikan orang ramai dapat ditingkatkan.

"Saya sendiri amat prihatin terhadap pegawai perkhidmatan awam yang suka memanaskan kerusi, tidak berdisiplin dan gagal melaksanakan tugas dan mereka ini sama ada akan diberi surat tunjuk sebab atau diberhentikan.

"Sebab itu saya menyokong penuh pembaharuan dalam sektor awam kerana ini dapat membantu kepentingan rakyat dapat diatasi segera," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi pembaharuan struktural perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat.

Najib berkata, cadangan mengenai kaedah sistem kemasukan pelbagai peringkat dalam perkhidmatan awam itu akan dapat memanfaatkan proses keterampilan bersilang antara bakat- bakat sektor awam dan sektor swasta serta GLC.

Mohd. Ali berkata, beliau juga turut bersetuju agar pelantikan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diberi peluang kepada pegawai-pegawai lain yang berkebolehan.

Katanya, masih ramai pegawai dari agensi berkanun yang berkebolehan dan dinamik mampu dilantik sebagai kakitangan PTD.

Melalui cara itu kata beliau, pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta bagi menambah baik sistem perkhidmatan awam dan dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

No comments: