Saturday, December 31, 2016

Tiada Lagi Amaran



MUKADIMAH
Ketika mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos 2016, DAT UK DZULKIFLI AHMAD bukan sahaja berhadapan dengan 'serangan’ daripada pihak tertentu malah dilumuri pelbagai persepi khususnya berkaitan ketelusan SPRM.

Tetapi ia ternyata tidak melemahkan semangat beliau yang dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, beliau menegaskan, semua itu sememangnya sudah diduga dan menganggap jawatan disandangnya sebagai wadah perjuangan dan satu jihad.

Kini di bawah kepemimpinan Dzulkifli, beliau berjaya membuktikan kewibawaan SPRM khususnya dalam membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Usaha itu akan terus dipertingkatkan pada tahun ini kerana beliau menegaskan, perbuatan penjawat awam terlibat dalam rasuah merupakan pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

MINGGUAN: Datuk mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam keadaan agak kontroversi. Pelbagai andaian dibuat termasuklah persepsi berhubung ketelusan SPRM, apa pandangan Datuk? 

DZULKIFLI: Saya menyedari tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya merupakan satu amanah yang amat berat dan memahami cabaran getir dan harapan tinggi yang diletakkan kepada saya. Bagaimanapun saya menerima dan melihat tanggungjawab tersebut sebagai suatu wadah perjuangan dan peluang bagi saya untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada negara dan rakyat.

Dalam menerajui SPRM ke arah memerangi rasuah, saya menerima apa sahaja andaian, persepsi negatif mahupun kritikan yang dilemparkan terhadap saya sebagai sebahagian daripada ranjau perjuangan dan jihad saya. Walaupun andaian atau persepsi negatif tersebut tidak mempunyai asas, namun saya tetap berlapang dada dan menjadikan ia sebagai motivasi untuk saya berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tanggungjawab. Dalam menjalankan amanah ini saya sama sekali tidak akan memperjudikan ketelusan dan kebebasan SPRM, sebaliknya akan memastikan SPRM akan kekal menerajui usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil.

Apakah kekangan utama SPRM dalam usaha membanteras rasuah kerana khabarnya SPRM menghadapi masalah dari segi aset dan tenaga kerja sehingga dikatakan menjejaskan proses pendakwaan?

DZULKIFLI: Ramai tidak sedar bahawa keanggotaan SPRM termasuk kakitangan guna samanya di seluruh negara hanyalah sekitar lebih kurang 2,900 orang. Daripada jumlah tersebut pula tidak semua pegawai SPRM melaksanakan tugas bersifat operasi, malah tenaga kerja ini turut dibahagikan untuk melaksanakan tugas pencegahan dan pendidikan. Ia sudah tentunya mewujudkan keterbatasan dalam SPRM melaksanakan tugas penguatkuasaan rasuah di seluruh negara. Selain itu, SPRM juga terkesan dengan kadar pengurangan belanjawan operasinya yang diperuntukkan bagi tahun 2017. Belanjawan operasi SPRM dikurangkan sehingga menjadi yang terendah sejak 2013.

Bagaimanapun saya akan melaksanakan perancangan tersendiri bagi memastikan kemampuan SPRM sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah negara yang ulung akan kekal dipelihara dan dipertingkatkan walaupun dengan wujudnya kekangan-kekangan tersebut.

Saya juga turut yakin dan percaya kekangan seumpama itu tidak akan melemahkan semangat dan menghalang warga kerja SPRM untuk terus berkhidmat penuh kesungguhan dan dedikasi. Saya dan warga kerja SPRM melihat kekurangan ini sebagai satu cabaran, bukannya alasan untuk tidak menjalankan tugas. Komitmen dan kesungguhan warga kerja SPRM dalam menjalankan tugas ini jelas diterjemahkan melalui kerancakan beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak empat bulan lalu serta kepelbagaian aktiviti pencegahan dan pendidikan masyarakat.

Yakinlah SPRM akan kekal menjalankan tugas dan amanahnya dengan ikhlas dalam apa keadaan sekali pun. Justeru, saya berharap rakyat terus memberikan kerjasama, sokongan dan dokongan kepada SPRM dalam menggembleng tenaga ke arah pembanterasan rasuah di Malaysia.

Sejauh manakah seriusnya masalah rasuah dan penyelewengan dalam kalangan penjawat awam, jika ini berterusan tidakkah ia boleh menghakis keyakinan awam kepada sektor awam dan kerajaan?

DZULKIFLI: Saya melihat amalan rasuah dan penyelewangan dalam kalangan penjawat awam merupakan pengkhianatan kepada rakyat dan negara. Segelintir penjawat awam kadangkala lupa mereka seharusnya berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung (guardians) kepada hasil dan kepentingan negara. Sekiranya jenayah rasuah dan penyelewengan ini tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa dalam kalangan penjawat awam, maka ia bukan sahaja boleh menghakis keyakinan rakyat, tetapi juga akan mengakibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat terjejas. Dalam masa sama turut menggugat kestabilan ekonomi, keselamatan dan pembangunan negara.

Oleh itu sejak saya memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya memberi amaran kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa untuk segera menyerah diri atau tunggu tindakan tegas daripada SPRM. Beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak Ogos 2016 membuktikan betapa seriusnya SPRM dalam membanteras dan memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam.

 Pada pandangan saya, kita tidak perlu menunggu sehingga masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam menjadi begitu kritikal dan serius bagi mewajarkan SPRM mengambil tindakan. SPRM perlu mengambil tindakan segera, tegas dan proaktif sebelum barah rasuah dan salah guna kuasa merebak lebih jauh dan merobek keseluruhan integriti institusi perkhidmatan awam itu sendiri. Dalam hal ini saya amat bersyukur kerana Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sering memberi sokongan penuh kepada SPRM untuk terus memburu kalangan penjawat awam yang merosakkan reputasi sektor awam dengan mengamalkan rasuah.

SPRM dilihat teragak-agak dalam melakukan siasatan apabila ia berkaitan dengan ahli politik khususnya kerajaan, adakah dakwaan ini benar? Apa komen Datuk?

DZULKIFLI: Ia hanyalah persepsi semata-mata. Sebenarnya dakwaan itu sering dimainkan dan dikitar semula oleh mereka yang tidak ikhlas serta mempunyai agenda tertentu. Ia bukanlah satu perkara atau isu yang baru kerana telah pun diutarakan berulang kali sebelum saya menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya lagi.

SPRM sentiasa bersedia menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang dikemukakan tanpa memilih bulu. Setiap maklumat atau laporan akan disiasat dan diteliti kesahihannya bagi menentukan sama ada ia mempunyai asas dan elemen rasuah sebelum SPRM membuka kertas siasatan dan mula menyiasat kes tersebut secara lebih mendalam.

SPRM tidak pernah dan tidak gentar menjalankan tugas menurut batas undang-undang. Jika hasil siasatan mendapati mana-mana individu terlibat dalam perbuatan rasuah dan ada bukti-bukti mencukupi, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu.

Apakah strategi dan pendekatan dalam usaha SPRM menjayakan Tahun 2017 sebagai tahun memerangi rasuah?

DZULKIFLI: Kita akan melipatgandakan aktiviti merakyatkan SPRM melalui pelbagai program pencegahan dan pendidikan masyarakat mengenai kesan dan bahaya gejala rasuah dan salah guna kuasa. Pada masa sama tahun 2017 juga akan memperlihatkan SPRM menggandakan tindakan operasi dan penguatkuasaan bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa dengan lebih agresif lagi kerana “I am a no nonsense man when it comes to corruption”.

Tahun 2017 juga akan menjadi tahun bahawa SPRM akan terus mengotakan janji-janjinya. Tiada lagi laungan amaran akan diberikan kepada mereka yang masih hanyut di dalam ketamakan rasuah dan salah guna kuasa. Fokus operasi dan penguatkuasaan akan diberikan kepada sektor kritikal negara seperti perkhidmatan awam khususnya agensi-agensi penguatkuasaan, badan-badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan serta negeri, syarikat yang berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta, khususnya institusi kewangan dan perbankan.

Sebagai usaha berterusan ke arah memartabatkan imej negara, SPRM menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi memberi fokus kepada perencanaan strategi secara lebih menyeluruh dan teratur bagi menambah baik kedudukan ‘Corruption Perception Index’ (CPI) Malaysia. Jawatankuasa itu akan mengkaji dan merangka pelan ke arah memastikan kedudukan CPI Malaysia bagi tahun 2016 dan tahun-tahun seterusnya akan senantiasa diperbaiki. Adalah menjadi harapan saya agar inisiatif ini akan menjelmakan hasil serta impak positif kepada rakyat dan negara.

Pendekatan ini selaras dengan hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi ‘mesra rakyat dan pada masa yang sama digeruni perasuah’. Tindakan ini direncanakan dengan keazaman untuk merakyatkan SPRM dan memperoleh sokongan dan keyakinan masyarakat supaya mereka merasa selesa untuk bersama dan mendekati SPRM. Ia memandangkan isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat hampir dan seiring dengan aspirasi rakyat.

Setakat ini bagaimanakah persepsi dan sambutan orang awam terhadap usaha SPRM dalam membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam kerana ada yang berpandangan SPRM hanya ‘berani menyentuh’ golongan yang dianggap ‘ikan bilis’ bukan ‘jerung’?

DZULKIFLI: Dalam perjuangan memerangi rasuah, tidak wujud istilah ‘ikan bilis’ atau ‘jerung’. Anai-anai atau nyamuk yang kecil sekiranya tidak dibasmi atau dicegah akan turut membawa kerosakan, wabak dan kemudaratan besar kepada masyarakat. Justeru, saya akan memastikan jentera SPRM dilancarkan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira personaliti atau jumlah terlibat. Rasuah tetap rasuah dan ia satu jenayah keji yang harus diperangi habis-habisan.

 Sejak saya mengambil alih teraju SPRM, masyarakat boleh menilai keikhlasan SPRM menjalankan tugas berdasarkan kekerapan operasi ke atas individu berjawatan tinggi, berkedudukan dan mempunyai gelaran. Jumlah wang dan harta rampasan mencecah nilai ratusan jutaan ringgit. Oleh itu jelas istilah perbandingan ‘ikan bilis’ atau ‘jerung’ sudah tidak sesuai lagi dipakai.

Sejak kebelakangan ini, saya amat merasai peningkatan sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM. Keyakinan ini diperlihatkan melalui peningkatan penglibatan dan kehadiran masyarakat melalui program SPRM bersama rakyat serta melalui peningkatan jumlah mereka yang tampil ke hadapan untuk berkongsi maklumat dan aduan. Situasi ini memberi semangat kepada SPRM untuk terus istiqamah melaksanakan tugas dan amanah memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Namun demikian, ingin saya nyatakan bahawa tanggungjawab dan tugas untuk memastikan negara bersih dan bebas daripada sebarang gejala rasuah bukanlah tugas SPRM semata-mata, sebaliknya merupakan tugas kita semua sebagai rakyat Malaysia. Pendek kata, masyarakat perlu benci rasuah, harus tolak rasuah dan bersama-sama SPRM memerangi rasuah.

  Usaha pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa akan sia-sia jika rakyat daripada segenap lapisan tidak bersama SPRM. Lantaran itu, saya menggesa seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira usia, agama, bangsa dan ideologi agar terus kekal memberikan kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM dalam perjuangan berterusan bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

 Apakah nasihat Datuk kepada penjawat awam, orang ramai dan mereka yang terlibat dalam rasuah?

DZULKIFLI: ‘Enough is enough, please stop. No more warnings will be given’. Operasi demi operasi secara berterusan akan dilaksanakan secara konsisten selepas ini dan SPRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang masih degil terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. Saya juga ingin turut memberikan peringatan kepada penjawat awam, khususnya dalam kalangan pengurusan tertinggi yang sering melancong keluar negara semata-mata untuk bermain golf.

SPRM melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai pergerakan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh segolongan penjawat awam ini. Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta-merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.
Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka untuk memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara kita. ‘They are not professional golfers’ dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf.

Kami turut mempunyai maklumat bahawa individu-individu terbabit juga akan disertai oleh golongan tertentu, yakni mereka yang berkepentingan, setibanya mereka di sana. Walaupun kadangkala individu-individu terbabit menunjukkan bahawa perjalanan mereka dibiayai dengan hasil pendapatan sendiri namun sebaik-baik sahaja tiba di sana, mereka akan disambut oleh golongan-golongan tertentu ini bagi membiayai segala perbelanjaan lain termasuklah perbelanjaan untuk membeli-belah dan sebagainya. ‘So again I repeat, stop immediately all this activities before it is too late!’. 


Utusan Malaysia Online

Tuesday, December 27, 2016

Bertimbang rasa terhadap pekerja senior

PENINGKATAN Secara Lantikan (PSL) adalah peperiksaan yang perlu diduduki kakitangan kerajaan bagi memenuhi syarat kelayakan kenaikan pangkat untuk menggantikan kelulusan akademik. Kakitangan berkenaan terdiri daripada penjawat awam yang telah disahkan ke dalam jawatan.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mempelawa mereka yang layak untuk menduduki peperiksaan PSL secara dalam talian bagi jawatan Penolong Pegawai Tadbir N29, pada 5 Disember lalu, dari pukul 8 hingga 9.45 malam.

Peperiksaan itu terbahagi kepada dua seksyen iaitu Seksyen A - Pengetahuan Am dan Seksyen B - Daya Menyelesaikan Masalah. Bagi Seksyen A, masa ditetapkan adalah selama 40 minit dengan 50 soalan manakala Seksyen B, selama 40 minit dengan 45 soalan.

Setiap calon perlu berada di hadapan komputer untuk menjawab soalan-soalan yang telah disediakan oleh SPA. Untuk memudahkan mereka menduduki peperiksaan, ramai kakitangan kerajaan menangguhkan waktu balik kerja untuk terus kekal di pejabat.

Bagi pekerja senior yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan, peperiksaan itu amat mencabar terutamanya berkaitan matematik. Untuk mendapat kelulusan bagi menduduki PSL pun sudah memenatkan, inikan pula mereka harus mengingat kembali formula matematik yang sekian lama hilang dalam ingatan.

Di samping itu, ada dalam kalangan penjawat awam yang menghadapi masalah talian internet sehingga tidak dapat mengakses alamat pautan peperiksaan itu sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menduduki peperiksaan.

Seperti diduga, keputusan peperiksaan yang boleh diketahui melalui laman web SPA sejak 13 Disember lalu lebih memihak kepada pekerja muda. Penjawat awam senior yang mengharapkan peluang naik pangkat telah terkandas pada peringkat awal sebelum sempat ke langkah seterusnya iaitu sesi temu duga.

Kalau ada rezeki, pada masa akan datang, mereka mungkin dipelawa sekali lagi untuk menduduki ujian secara dalam talian. Jika tidak, mereka terpaksa mengakhiri kerjaya dengan gred dan jawatan sama sejak mula-mula memasuki perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, saya berharap SPA bertimbang rasa terhadap penjawat awam senior yang mempunyai banyak pengalaman dengan membenarkan mereka menghadiri sesi temu duga bagi jawatan Penolong Pegawai Tadbir N29 tanpa perlu lulus PSL terutama yang berkaitan dengan matematik.

Ingatlah, pengalaman penjawat awam senior bukanlah sesuatu yang boleh dinilai melalui peperiksaan.

RADUAN TAMBI
Putrajaya

Utusan Malaysia Online

Friday, December 23, 2016

Virus pembangkang dalam sektor awam

ZULKIFLEE BAKAR (zulkifleebakar@gmail.com)

BARU-baru ini seorang sahabat lama menghubungi penulis, dia menceritakan bagaimana kakak iparnya yang bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan kini menyokong pembangkang, sebelum itu suami­nya yang pernah bekerja dengan ­pasukan keselamatan turut berbuat demikian.

Sebenarnya penulis tidak terkejut dengan senario itu. Sudah banyak cerita penulis dengar bagaimana ada penjawat awam yang mencari rezeki dengan menjamah wang kerajaan akhirnya kembali menentang kerajaan. Malah ada pula sampai ke akhir hayat makan pencen kerajaan tetapi tetap tidak menyokong kerajaan.

Sememangnya dalam sebuah negara demokrasi, seseorang itu berhak mengundi dan memilih siapa sahaja dalam pilihan raya, malah mereka juga boleh menjalankan aktiviti siang ­bekerja di pejabat kerajaan manakala malam menghadiri ceramah pembangkang. Tetapi dari segi moralnya, mereka yang berbuat demikian tidak mempunyai pendirian. Mana mungkin setiap hari menjamah wang kerajaan tetapi dalam masa sama ada antara mereka memaki hamun kerajaan dalam laman-laman sosial.

Kalaulah berpendapat pera­saan tidak menyokong kerajaan itu boleh menyara kehidupan berhenti sahaja daripada ber­khidmat dengan kerajaan, carilah rezeki dengan cara sendiri. Dan apabila pilihan raya undilah siapa yang mereka mahu. Tiada gunanya menjadi manusia hipokrit dengan bekerja dengan kerajaan, tetapi hati dan perasaan menyokong pembangkang. Kita akui memang ada kelemahan yang perlu diperbaiki dalam sektor awam, bagaimanapun kerajaan bukanlah pekak atau buta untuk tidak memahami apa yang berlaku. Dari semasa ke semasa melalui tuntutan Kongres Ke­satuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kerajaan sentiasa berusaha memperbaiki perkhidmatan tersebut khusus dalam soal kebajikan ka­kitangan awam.

Bagaimanapun kita harus menerima hakikat tidak semua tuntutan itu boleh dipenuhi. Ada kalanya kerajaan melakukan secara berperingkat. Apa yang kerajaan minta daripada sektor awam adalah berkhidmat dengan penuh amanah. Namun malangnya, ada yang sanggup menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan kepada kerajaan. Segelintir sanggup ‘berkongsi’ maklumat de­ngan pembangkang biarpun ada antaranya diklasifikasikan sebagai rahsia.

Atas sebab itulah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengingatkan penjawat awam agar tidak sesekali menjadi kumpulan yang turut sama menghentam kepemimpinan kerajaan semata-mata mahu menzahirkan perasaan tidak puas hati atau meluahkan perbezaan pendapat.

Kenyataan Ahmad Zahid itu bukanlah satu tuduhan melulu, tetapi itulah yang berlaku sekarang. Berapa ramaikah penjawat awam yang menggunakan laman-laman sosial untuk mengecam kerajaan sedangkan mereka ‘menyuap mulut’ keluarga mereka dengan rezeki yang diperoleh daripada kerajaan?

Justeru adalah wajar pemerhatian khusus dilakukan ke atas semua penjawat awam yang bersikap demikian. Ambillah tindakan ke atas mereka sebagai pe­ngajaran kepada kakitangan lain. Mungkin tindakan disiplin akan dianggap zalim, tetapi soalnya siapakah lebih zalim? Kelompok yang menjadi ‘pengkhianat’ dalam perkhidmatan awam atau kerajaan yang sentiasa berusaha memperbaiki kebajikan kakita­ngan sektor awam?

Oleh itu, kerajaan tidak perlu lagi bertolak ansur dengan golo­ngan seumpama itu. Memang hak mereka untuk mengundi sesiapa tetapi biarlah fahaman politik itu hanya diterjemahkan ketika pilihan raya, bukannya menjadi virus dalam perkhidmatan awam.
Bagaimanapun pada masa sama, kita menyokong penuh kenyataan Jabatan Peguam Negara yang mahu kajian dilakukan terhadap hukuman denda maksimum sebanyak RM100 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) bagi kesalahan menggunakan perkataan tidak sopan.

Dalam soal itu, penulis juga berpendapat sudah tiba masanya kajian juga dilakukan bagi mereka yang menghalang dan memaki hamun penjawat awam. Denda RM100 adalah terlalu ringan. Adalah wajar kerajaan mempertimbangkan mengenakan hukuman yang lebih berat, kalau boleh biarlah hukuman penjara ditambah dan dijadikan mandatori, maknanya bukan sekadar denda.

Ini memandangkan kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak begitu mudah menghina atau menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas. Hakikatnya, kita sudah bosan dengan penghinaan serta kebiadaban sesetengah pihak terhadap penjawat awam khususnya anggota penguat kuasa. Ada kalanya mereka dicaci dengan pelbagai perkataan yang cukup biadab, tetapi mereka tetap melaksanakan tugas dengan dedikasi.

Lihatlah sahaja bagaimana ada ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaki dengan pelbagai gelaran hanya kerana mereka melaksanakan tugas mengikut undang-undang. Negara ini ada peraturan dan saluran untuk membuat aduan, kalau benar ada penjawat awam yang melakukan kesalahan, buatlah laporan mengikut saluran yang betul bukannya dengan memaki hamun.

Begitulah juga penjawat awam, kalau mereka tidak ber­puas hati dengan apa-apa mereka juga ada saluran untuk membuat aduan, bukannya dengan melepaskan geram di laman sosial. Tindakan itu tidak akan menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya boleh menjejaskan imej perkhid­matan awam, apatah lagi yang terlibat hanya segelintir kerana mengalami masalah krisis identiti.

Utusan Malaysia Online

Wednesday, December 21, 2016

Syor CUEPACS dibawa ke Kabinet esok: Zahid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan
membawa cadangan CUEPACS berkaitan semakan semula elaun kakitangan awam
dan tuntutan lain dalam mesyuarat Kabinet, esok.

  Timbalan Perdana Menteri, berkata tuntutan dibangkitkan CUEPACS itu
munasabah kerana ada elaun perkhidmatan tidak disemak selama 14 tahun.

  Katanya, tuntutan supaya kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Gaji
Kebangsaan (MPGK) dan mewujudkan skim insurans khusus untuk penjawat awam
juga akan dibawa ke mesyuarat itu.

  Lihat beberapa mekanisme

  "Saya fikir ada beberapa mekanisme boleh difikirkan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (KKPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk
memenuhi permintaan yang dibangkitkan itu.

  "Tentu munasabah apabila MPGK diminta untuk dilaksanakan, perkara ini
akan saya bawa ke dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

  "Permintaan lain termasuk melihat elaun yang tidak disemak dalam tempoh
14 tahun ini, saya akan minta Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri Richard
Riot Jaem) untuk bawa ke Kabinet pada Rabu ini (esok)," katanya ketika
merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-27 di sini, semalam.

  Yang turut hadir, Richard Riot dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul
Mutalib serta Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

  Ahmad Zahid berkata, penjawat awam perlu komited berkhidmat dan
meningkatkan produktiviti dalam perkhidmatan sebagai timbal balas terhadap
komitmen kerajaan memenuhi permintaan CUEPACS selama ini.

  Ikut situasi semasa

  Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang permintaan yang dikemukakan
juga perlu mengikut situasi semasa serta bergantung kepada sumber kewangan
kerajaan.

  Sehubungan itu, katanya, penjawat awam perlu terus memberi sokongan dan
membela kerajaan terutama ketika kerajaan berdepan pelbagai tekanan serta
tohmahan daripada pelbagai pihak.

  Ketika menyatakan harapan itu, Ahmad Zahid menggunakan analogi penjawat
awam sebagai anak, manakala ibu bapa sebagai pihak kerajaan.

  "Sebagai anak, tidak sepatutnya ikut sekali 'sepak kaki dan ketuk kepala
ibu bapa' kalau ada orang lain yang buat begitu.

  "Walaupun berbeza pendapat, anak tetap perlu hormat dan membela ibu bapa
jika ada yang sepak kaki dan ketuk kepala mereka," katanya.

Berita Harian Online

Penjawat awam dicadang dilindungi insurans

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Kerajaan diminta mempertimbangkan memberi perlindungan skim insurans kepada semua penjawat awam kerana golongan itu turut terdedah dengan risiko bahaya ketika menjalankan tugas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, pada masa ini tiada sebarang perlindungan dinikmati mereka sebagaimana yang dilaksanakan sektor swasta untuk membela setiap tanggungan isteri dan anak-anak pekerja itu jika berlaku kematian akibat kecelakaan atau kemalangan.

“Sudah sampai masanya kerajaan melindungi penjawat awam untuk diwujudkan skim insurans contohnya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan dicarum oleh kerajaan atau pekerja itu sendiri.

“Skim insurans ini membolehkan sekurang-kurangnya nasib mereka yang berkhidmat dengan kerajaan akan terbela untuk anak-anak dan isteri jika pekerja itu telah terkorban ketika menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Kongres Tahunan CUEPACS Ke-27 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga diminta melaksanakan kenaikan pangkat mengikut time-based kali kedua iaitu mereka akan diberi kenaikan pangkat dalam tempoh lapan tahun.

Menurut beliau, bagi tempoh kenaikan pangkat kali pertama pula dipendekkan kepada 10 tahun berbanding 13 tahun sebelum ini.

“Kerajaan turut diminta untuk campur tangan dalam menentukan harga di pasaran terutama melibatkan harga rumah supaya rakyat tidak terbeban dengan kos kenaikan sara hidup kerana hampir 800,000 penjawat awam adalah golongan B40,” katanya.

“Pendapatan mereka hilang sebab gaji tidak berubah tetapi kos barang naik mendadak. Sebab itu perlunya elaun-elaun turut disemak semula kerana ia tidak lagi relevan seperti elaun sara hidup (COLA) yang juga tidak selaras antara mereka yang bekerja di bandar dan luar bandar,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Jangan ikut sama hentam kerajaan : Ingatan Ahmad Zahid kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan para penjawat awam di negara ini agar tidak sesekali menjadi kumpulan yang turut sama menghentam kepemimpinan kerajaan semata-mata mahu menzahirkan perasaan tidak puas hati atau meluahkan sebarang perbezaan pendapat.

Beliau yang mengibaratkan go­­­longan itu sebagai ‘anak-anak’ manakala pemimpin-pemimpin kerajaan sebagai ibu bapa berkata, setiap perkara yang tidak di­persetujui perlu disuarakan mengikut saluran betul dan harus memp­­unyai adab dan tata-susila kerana akhlak terhadap ibu bapa perlu dijaga dan dihormati.

Beliau menjelaskan, kerajaan sentiasa mendengar setiap luahan, permintaan dan tuntutan golo­ngan itu yang disampaikan melalui Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), justeru sebagai menzahirkan ucapan terima kasih, mereka perlu bertindak menjadi barisan pertahanan jika ada pihak yang mahu ‘memukul’ kerajaan.

“Apabila sesekali mak bapak disepak, diketuk kepala, pergilah tengok bengkak ke tidak, jangan kita ikut ketuk sama atau kita tambah untuk sepak kaki dan ketuk kepala mak bapak. Kita dalam satu acuan dan pentas sama, perbezaan pendapat diizinkan malah agama turut membenarkan, tetapi perbezaan ini harus ada tertibnya.

“Namun, akhlak terhadap mak bapak harus dijaga, hormat kita kepada mereka harus dikekalkan, itulah sebaik-baiknya,” kata­nya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kongres Tahunan CUEPACS Ke-27 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib serta Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid secara peribadi berpendapat bahawa setiap tuntutan CUEPACS adalah munasabah untuk dipertimbangkan kerajaan iaitu melibatkan perlindungan skim insurans untuk setiap kakitangan awam dan kenaikan pangkat secara time-based.

Kata beliau, itu termasuk semakan semula elaun-elaun penjawat awam yang tidak dibuat sejak 14 tahun serta permohonan kongres itu untuk mewujudkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan bagi sektor awam yang akan dibincangkan di Kabinet pada Rabu ini.

Namun beliau menjelaskan, segala tuntutan yang disenaraikan itu akan diteliti dan disesuaikan mengikut situasi semasa.
“CUEPACS mahu perlindungan insurans tanpa melibatkan sebarang pemotongan (gaji) penjawat awam, saya fikir mungkin ada beberapa mekanisme yang boleh difikirkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk melaksanakan perkara ini.

“Kita berharap bila menuntut itu ada timbal balas dari segi produktiviti dan prestasi yang baik daripada penjawat awam,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Kaunter 1Serve di Perak mulai Februari ini

IPOH 19 Dis. – Perkhidmatan kaunter 1Serve yang dilancarkan kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tahun lalu kini diperluaskan ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini bermula Feb­ruari 2017.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Moha­mad Zabidi Zainal berkata, pusat sehenti itu bakal menawarkan perkhidmatan tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Tambah Mohamad Zabidi, setelah dilaksanakan kelak, rakyat di negeri ini boleh mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan-jabatan terlibat hanya melalui satu kaunter.

“Berdasarkan laporan yang dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, UTC Perak merupakan UTC yang pa­ling ramai pelanggan apabila mencatatkan hampir dua juta setahun.

“Jadi sudah pasti, satu pendekatan baharu yang kritis perlu kita lakukan di sini untuk memudahkan rakyat, jadi sebab itu kita mulakan di sini kaunter 1Serve sebagai permulaan iaitu satu kaunter boleh buat macam-macam sebelum diperluaskan ke peringkat lebih besar serta ke tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Apresiasi 1Serve dan Pra Pelancaran 1Serve@UTC Perak di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Mohamad Zabidi turut melancarkan Buku Coffee Table NBOS@JPA:Horizon Baharu Perkhidmatan Awam dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 53 penerima yang terdiri daripada agensi pelaksana, penyelia, petugas barisan hadapan dan tenaga pengajar 1Serve.

Utusan Malaysia Online

Tuesday, December 20, 2016

Tuntutan CUEPACS dibawa Kabinet Rabu ini

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk semakan semula elaun-elaun penjawat awam akan dibincangkan di Kabinet pada Rabu ini.

Beliau berkata, selain itu permohonan kongres itu untuk mewujudkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan bagi sektor awam akan turut dibawa oleh Kementerian Sumber Manusia pada mesyuarat berkenaan.

“Kita akan melihat elaun-elaun yang tidak disemak dalam tempoh 14 tahun untuk dibawa ke Kabinet,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kongres Tahunan CUEPACS Ke-27 di sini hari.

Utusan Malaysia Online

Monday, December 19, 2016

Microsoft Excel : Tips & Tricks [Shortcuts]














dipetik daripada : https://www.facebook.com/UsefulGen/

Wednesday, December 14, 2016

Koleksi Nadir Terpilih bertemakan KITAB 3/2016

Perpustakaan Negara Malaysia menyimpan pelbagai himpunan khazanah ilmu antaranya koleksi buku nadir untuk tujuan rujukan dan penyelidikan. Antaranya Koleksi Nadir Terpilih bertemakan KITAB untuk makluman dan perhatian semua.


Koleksi Nadir merupakan khazanah warisan bangsa yang amat bernilai dan perlu dihargai serta disebar luas bagi memastikan ilmu yang terakam di dalamnya dapat dilestari dan dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

Koleksi Nadir boleh dirujuk di Aras 10, Perkhidmatan Rujukan Malaysiana, Menara PNM menggunakan borang khas dengan kebenaran penasihat pembaca. 

BANGSA MEMBACA, BANGSA BERJAYA








Tuesday, December 13, 2016

Menjaga harta awam daripada kebakaran

HOSPITAL terbakar. Ada kematian. Dewan universiti terbakar. Harta benda rosak binasa. Begitulah antara laporan akhbar-akhbar tempatan saban tahun. Kejadian dan laporan seperti ini seringkali berlaku. Walaupun, usaha mengelak kebakaran sentiasa dijalankan pelbagai pihak, malangnya, kejadian ini tetap berlaku.

Menurut seorang pengkaji hartanah, Tim Stapelton yang menulis buku Property Management dari United Kingdom, kebakaran berkait rapat dengan cara mengurus bangunan. Antara aspek pengurusan bangunan yang pen­ting adalah audit penyenggaraan. Audit dalam penyenggaraan ba­ngunan yang memuaskan mampu menghindari kebakaran.

Dalam penyenggaraan bangunan, binaan bangunan seperti pintu, lantai, dinding, bumbung dan sebagainya perlu mengikut spesifikasi yang ditentukan mengikut Undang-undang Kecil Bangunan Seragam, 1984. Misalnya, dengan ketebalan daun pintu yang tertentu, sekiranya berlaku kebakaran, masa yang singkat membolehkan penghuni bangunan keluar dan menyelamatkan diri.

Selain itu, peralatan mencegah kebakaran perlu lengkap. Ini termasuklah alat pemadam kebakaran, penggera kebakaran, peren­jis air dan maklumat berkaitan keselamatan dan kebakaran. Bukan setakat bangunan dilengkapi alat-alat pemadam kebakaran sahaja, malahan semua peralatan mencegah kebakaran perlu diaudit mengikut tempoh tertentu. Pemeriksaan secara berkala yang lebih sistematik perlu diadakan. Dalam konteks ini, saranan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mengadakan Program Keselamatan dan Kesihatan (OSH) di sekolah sangat relevan.

Begitu juga dengan keperluan mempunyai perabot yang tidak boleh dijilat api dalam masa singkat. Seringkali didapati perabot mahal tidak ada ciri-ciri tebatan kebakaran yang memuaskan. Barangan atau perabot kulit dan bulu kambing biri-biri, misalnya, boleh disambar dan dimakan api dalam sekelip mata. Jika berlaku kebakaran, sudah tentu penghuni bangunan yang dilengkapi bahan-bahan hiasan berkenaan tidak sempat melarikan diri. Begitu juga dengan tilam getah atau permaidani tebal yang mudah dimakan api.

Apabila berlaku kebakaran, bukan sahaja bahang api yang berbahaya tetapi juga asap tebal yang menyebabkan sukar bernafas dan akhirnya mangsa menemui ajal. Jadi, alat bantuan pernafasan juga perlu disediakan di tempat tertentu.

Selain itu, barang-barang mai­nan kanak-kanak seperti anak pa­tung, bantal kekabu, mainan plastik amat mudah disambar api. Baru-baru ini, seorang pensyarah yang mengendalikan pemeriksaan kualiti di sebuah universiti terkejut apabila mendapati ruang mainan kanak-kanak pra-sekolah dipenuhi bahan-bahan mainan yang mudah dijilat api.

Begitu juga dengan birai dan jendela yang diperbuat daripada kain yang mudah dijilat api dan juga mampu mengeluarkan asap tebal semasa berlaku kebakaran.

Dalam pada itu, ujian kebakaran perlu diadakan secara nalar supaya semua penghuni timbul kesedaran tentang bahaya kebakaran dan penjagaan keselamatan.

Malangnya, ada penjaga bangunan yang tidak memberi perhatian tentang perkara ini. Malahan ada bangunan awam yang tidak disediakan tempat berkumpul sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran.

Tanda-tanda arah menuju jalan keluar bangunan dan tempat berkumpul semasa kecemasan sewajarnya diletak di laluan-laluan yang mudah dilihat.

Ada lapangan terbang yang yang mempunyai kedai berjenama yang begitu banyak, sehinggakan notis-notis keselamatan dan panduan kebakaran sukar dilihat. Justeru, notis berjaga-jaga kemungkinan terjadinya kebakaran perlu ditampal dan boleh dilihat dengan mudah di tempat-tempat terbuka.

Begitu juga dengan nombor ­telefon kecemasan pihak Bomba dan Penyelamat dan pengawal ke­­-
selamatan. Di Perth, Australia, panggilan palsu yang dibuat berkaitan kebakaran boleh didenda sehingga AD1,500 (RM4,500).

Sesungguhnya, tahap kesedaran terhadap penyenggaraan bangunan dalam kalangan rakyat di negara ini adalah rendah berbanding sikap suka membeli barang-barang yang baharu. Lihat sahaja pada ­dinding bangunan-bangunan di negara ini yang begitu lama tidak dicat semula. Walhal apalah sangat kos untuk mengecat dinding bangunan dibandingkan dengan nilai bangunan berjuta-juta ringgit.

Jadi, kos penyenggaraan perlu diperuntukkan setiap tahun untuk maksud menjaga nilai hartanah melalui penyenggaraan. Kos tahunan ini dikenali sebagai dana terikat tahunan yang dikumpulkan setiap tahun.

Dalam pada itu, penting sekali dilihat dan diperiksa secara nalar pendawaian sesebuah bangunan. Lantaran, tindakan Kementerian Pendidikan melancarkan program penggantian semula sistem pendawaian elektrik lama di 2,086 sekolah berusia lebih 20 tahun adalah kena pada masanya.

Malahan, bukan setakat sekolah, semua bangunan awam termasuk universiti perlu dilibatkan juga. Justeru, semua agensi kerajaan perlu mengadakan pelan penyenggaraan terancang dan bukannya penyenggaraan apabila rosak baharu hendak dilaksanakan pembaikannya.

Biasanya kebakaran berpunca daripada litar pintas. Terutama sekali bangunan lama. Mungkin juga kerana penggunaan ubat ­nyamuk secara tidak berhati-hati. Tong gas yang rosak atau gas yang tidak ditutup rapi boleh juga menyebabkan letupan dan kebakaran.

Memandangkan bahaya kebakaran sering berlaku dan boleh membunuh mangsa serta ­merosakkan harta benda, Agensi Berkaitan Kebakaran dan Keselamatan (ABKK) perlu mengkaji semula beberapa perkara mengenai bahaya dan cara menghindari kebakaran. Barangkali sampai masa Akta Perkhidmatan Kebakaran 1988 (Akta 341) perlu disemak dan dipinda ikut kesesuaian.

Dasar Penyenggaraan Bangunan Awam juga perlu diperkenalkan. Seterusnya, membentuk Pelan Induk Pencegahan Kebakaran Negara terutama di hospital, sekolah, universiti awam, dewan orang ramai, kompleks sukan dan sebagainya.
Sesungguhnya kita tidak boleh bertolak-ansur dengan sikap kurang prihatin terhadap bahaya kebakaran dan risiko keselamatan. Negara rugi berjuta-juta ringgit apabila berlakunya kebakaran yang mengorbankan harta benda dan jiwa.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia dan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Utusan Malaysia Online