Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, pada masa ini tiada sebarang perlindungan dinikmati mereka sebagaimana yang dilaksanakan sektor swasta untuk membela setiap tanggungan isteri dan anak-anak pekerja itu jika berlaku kematian akibat kecelakaan atau kemalangan.

“Sudah sampai masanya kerajaan melindungi penjawat awam untuk diwujudkan skim insurans contohnya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan dicarum oleh kerajaan atau pekerja itu sendiri.

“Skim insurans ini membolehkan sekurang-kurangnya nasib mereka yang berkhidmat dengan kerajaan akan terbela untuk anak-anak dan isteri jika pekerja itu telah terkorban ketika menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Kongres Tahunan CUEPACS Ke-27 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga diminta melaksanakan kenaikan pangkat mengikut time-based kali kedua iaitu mereka akan diberi kenaikan pangkat dalam tempoh lapan tahun.

Menurut beliau, bagi tempoh kenaikan pangkat kali pertama pula dipendekkan kepada 10 tahun berbanding 13 tahun sebelum ini.

“Kerajaan turut diminta untuk campur tangan dalam menentukan harga di pasaran terutama melibatkan harga rumah supaya rakyat tidak terbeban dengan kos kenaikan sara hidup kerana hampir 800,000 penjawat awam adalah golongan B40,” katanya.

“Pendapatan mereka hilang sebab gaji tidak berubah tetapi kos barang naik mendadak. Sebab itu perlunya elaun-elaun turut disemak semula kerana ia tidak lagi relevan seperti elaun sara hidup (COLA) yang juga tidak selaras antara mereka yang bekerja di bandar dan luar bandar,” katanya.

Utusan Malaysia Online